Perluas kefahaman Hijrah

Perluas kefahaman Hijrah

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 27 Okt – Bagi memberigakan hari-hari kebesaran Islam dan juga untuk menambah serta memperluaskan lagi kefahaman tentang Hijrah, Jabatan Bandaran Kuala Belait dan Seria telah menganjurkan Majlis Ceramah Sempena Sambutan Awal Tahun Hijrah 1437 yang berlangsung di Dewan Bandaran di sini, hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat ialah Pengerusi Lembaga Bandaran Kuala Belait dan Seria, Haji Ali bin Matyassin.

Lebih 100 orang dalam kalangan pegawai dan kakitangan di Jabatan Bandaran Kuala Belait dan Seria menghadiri majlis tersebut, yang turut bertujuan untuk mengeratkan lagi ikatan silaturahim antara pegawai dan kakitangan di jabatan itu.

Acara kemuncak majlis tersebut ialah ceramah bertajuk ‘Hijrah Untuk Membangun: Hijrah Minda’ yang telah disampaikan oleh penceramah undangan dari Pusat Dakwah Islamiah, Haji Mail bin Haji Besar.

Antara yang menghadiri ceramah tersebut.
Antara yang menghadiri ceramah tersebut.
Haji Mail ketika menyampaikan ceramahnya.
Haji Mail ketika menyampaikan ceramahnya.

Beliau antara lain menyentuh tentang dakwah Rasulullah S.A.W di Mekah untuk menghijrahkan minda masyarakat Mekah daripada mengikut kepercayaan warisan datuk nenek mereka yang salah kepada kepercayaan Islam berdasarkan wahyu Allah iaitu meninggalkan pemujaan berhala yang tidak mempunyai kuasa apa pun melainkan kuasa Allah Subhanahu Wata’ala, tetapi dakwah Baginda ditolak kerana penduduk tidak mahu kepada perubahan ‘Spiritual Quotient’ malahan mereka menentang pemimpin perubahan.

Sementara itu, tambah beliau, penduduk Yathrib pula inginkan perubahan kehidupan ke arah yang lebih baik kerana bosan dengan peperangan tetapi tiada pemimpin perubahan, maka dengan kehadiran Rasulullah S.A.W dengan membawa cara kehidupan telah membuka jalan untuk mereka berubah, dan Yathrib telah bertukar wajah menjadi sebuah negara madani dan membangun mengikut calak Islam.

“Kita masih dituntut untuk berhijrah, ke arah menjadikan Islam sebagai cara kehidupan sepenuhnya bukan setakat dalam beribadah, berkahwin, bercerai, kematian dan harta waris tetapi juga dalam kepimpinan, ekonomi, sosial, pengurusan, pemikiran, cara bekerja dan sebagainya, sebagaimana maksud Firman Allah, masuklah Islam secara keseluruhannya,” ujar Haji Mail.

ARTIKEL YANG SAMA