Perluas khidmat

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 11 Jan – Jabatan Perkhidmatan Pos perlu mempelbagaikan kegiatannya dan harus terlibat dengan aktiviti perdagangan yang bukan hanya sekadar menjual setem atau menghantar khidmat kargo sahaja, tetapi perlu memperluaskan kemudahan seperti menyewakan ruang pejabat, ruang kedai, runcit, membuka galeri dan sebagainya.

Menteri Perhubungan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Mustappa bin Haji Sirat semasa lawatan kerjanya ke Pejabat Pos Mumong hari ini terus menekankan bahawa perancangan lain yang perlu ditingkatkan termasuklah penjenamaan semula wajah setem baru dan perniagaan online (atas talian) atau e-dagang.

Melihat kepada beberapa cabaran yang dihadapi oleh perkhidmatan pos antara salah satunya adalah penurunan dari segi penjualan setem dan keadaan ekonomi semasa, adalah penting ia meningkatkan usaha-usaha perkhidmatannya dan pertumbuhan hubungan perdagangan dengan negara lain.

“Prasarana gudang besar yang terdapat di bangunan Pejabat Pos Mumong ini telah ditawarkan kepada pihak peniaga dan swasta untuk digunakan bagi tujuan logistik penghantaran barang-barang, bagaimanapun prasarana ini masih memerlukan pelaburan dari segi sistem automasi untuk menjadikan ianya lebih efisien dan dalam hal ini kita berharap kepada beberapa perkara antaranya dari segi logistik yang memerlukan kesaling-hubungan (connectivity) negara ini dengan negara lain, selain perlunya membuat perkhidmatan hubungan udara yang efisien terutama dari segi hubungan kargo udara,” katanya lagi.

Bangunan baru ini dibina dengan satu wawasan agar pejabat pos memainkan peranan penting untuk menyediakan prasarana atau infrastruktur bagi e-dagang dan pembinaannya juga mengambil kira mengenai pertumbuhan perdagangan berkenaan.

Pejabat Pos cawangan Mumong menawarkan ruang-ruang kosong untuk disewakan kepada peniaga-peniaga dan pihak swasta terutama dalam bidang perniagaan online atau e-dagang.

“Dari itu, lawatan hari ini adalah untuk melihat kemudahan-kemudahan yang telah ditawarkan kepada orang ramai sejak bangunan ini beroperasi pada tahun 2015, tetapi mungkin orang ramai belum begitu jelas dan saya berharap selepas ini orang ramai khususnya peniaga-peniaga akan lebih mengetahui lagi tujuan sebenar bangunan ini dibina secara komprehensif,” tambah Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Mustappa lagi.

Selain itu, Yang Berhormat Dato turut menyeru kepada belia-belia lepasan sekolah untuk berjinak-jinak dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), atau e-dagang, kerana banyak peluang yang terdapat dalam bidang berkenaan, lebih-lebih lagi kepada mereka yang arif dalam bidang pemprograman (programming) dan sebagainya, yang boleh membantu mereka yang kreatif menghasilkan makanan, mereka bentuk pakaian dan sebagainya sehingga ianya boleh dijual ke peringkat antarabangsa.

Pejabat Pos Mumong telah siap dibina pada tahun 2015 melalui Rancangan Kemajuan Negara (RKN) ke-8, pada ketika ini ia mengendalikan beberapa perkhidmatan kaunter pembelian setem, perkhidmatan membaharui lesen kenderaan dan lesen memandu, penghantaran dan penerimaan persuratan serta bungkusan.

Di samping itu, ia juga membukakan tawaran sewaan ke atas beberapa ruang kosong yang terdapat di dalam bangunan itu, termasuk perniagaan kafe dan sebagainya.