Perluas penyelidikan biodiversiti

Perluas penyelidikan biodiversiti

Oleh Abdul Rahim Haji Ismail

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 Mei – Perancangan mengadakan ekspedisi ke Bukit Teraja di Daerah Belait bagi penyelidikan kepelbagaian flora dan faunanya adalah antara agenda yang dibentangkan pada Mesyuarat Lembaga Pentadbir Konsortium Antarabangsa Universiti bagi Kajian Biodiversiti dan Alam Sekitar (iCUBE), yang berlangsung di ruang legar Institut Sains Kesihatan Pengiran Anak Puteri Rashidah Sa’adatul Bolkiah (PAPRSB IHS), hari ini.

Turut dibincangkan pada mesyuarat yang diadakan secara tertutup itu ialah perubahan cuaca, penganjuran bersama bengkel dan projek berkaitan tenaga daripada perspektif biodiversiti.

Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya merasmikan mesyuarat itu ialah Naib Canselor Universiti Brunei Darussalam (UBD), Datin Dr. Hajah Anita Binurul Zahrina binti Pehin Orang Kaya Laila Wijaya Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Aziz.

Dalam ucapan alu-aluannya, beliau berkata, iCUBE harus mengembangkan lagi keahlian universiti lain di serata dunia supaya lebih banyak kerjasama dalam penyelidikan biodiversiti dan alam sekitar dapat dilancarkan dengan lebih meluas lagi.

Pada masa ini, iCUBE dianggotai oleh lapan buah universiti antarabangsa, iaitu King’s College of London, University of North Carolina, Korea University, University of Auckland, University of Bonn, Monash University, National University of Singapore dan UBD.

Naib Presiden Hal Ehwal Antarabangsa Universiti Korea, Professor Sunhyuk Kim (kiri) bersama Profesor Datuk Haji Mohamed Haji Abdul Majid dari Fakulti Sains, UBD.
Naib Presiden Hal Ehwal Antarabangsa Universiti Korea, Professor Sunhyuk Kim (kiri) bersama Profesor Datuk Haji Mohamed Haji Abdul Majid dari Fakulti Sains, UBD.

Dalam kenyataannya hari ini, UBD menyatakan, mesyuarat dua tahun sekali itu menghimpun wakil-wakil dari universiti-universiti anggota iCUBE bagi membincangkan aktiviti yang akan dijalankan dalam bidang penyelidikan dan pendidikan, isu dan masalah yang berkaitan dengan biodiversiti dan alam sekitar.

Agenda kemuncak mesyuarat itu ialah pembentangan laporan pencapaian iCUBE bagi tempoh 2011 hingga 2016 dan laporan Mesyuarat Jawatankuasa Saintifik iCUBE ketiga oleh Pengarah Institut Penyelidikan Biodiversiti dan Penyelidikan Alam Sekitar, Profesor Bersekutu Dr. Kushan Tennakoon, Laporan Bengkel Perubahan Cuaca di Kawasan Tropika yang diadakan pada 8 hingga 11 Disember 2014 yang dibentangkan oleh Dekan Fakulti Sains, Dr. Rahayu Sukmaria binti Haji Sukri dan Laporan Bengkel Kerjasama Sains Sosial UBD-Korea oleh Profesor Datuk Haji Mohamed bin Haji Abdul Majid.

iCUBE telah berjaya mengendalikan beberapa aktiviti usaha sama antaranya ialah Projek penyelidikan Terra-i yang dikendalikan bersama antara UBD dan King’s College of London.

Terra-i merupakan projek penyelidikan yang mengawal dan mengawasi aktiviti pembasmian hutan bagi Asia Tenggara yang pertama dijalankan di luar Brazil yang masa ini sedang ditumpukan ke atas Asia Tenggara dengan pusat pemprosesannya di Pusat UBD/IBM.

Manakala itu, projek kedua ialah Biodiversiti Sungai yang dibiayai oleh NERC dan dikendalikan oleh pelajar PhD, Kate Baker dari King’s College of London.

Beliau menghabiskan selama lima minggu di Pusat Kajian Lapangan Kuala Belalong (KBFSC) di Ulu Temburong untuk menjalankan penyelidikan itu bersama Dayang Rafhiah binti Kahar dari KBFSC dan Naib Canselor UTB, Profesor Madya Dr. Hajah Zohrah binti Haji Sulaiman.

ARTIKEL YANG SAMA