Perluas produk pertanian ke Finland

Perluas produk pertanian ke Finland

KUALA LUMPUR, 1 Mei (Bernama) – Pejabat Perwakilan Pertanian (PPP) Malaysia di The Hague, Belanda kini dalam proses memperluaskan pasaran produk pertanian Malaysia dengan menembusi pasaran Finland untuk julung kalinya menerusi satu acara promosi pada 6-7 Mei ini.

Setiausaha Kedua (Pertanian) PPP The Hague, Mohammad Wafiuddin Esa berkata ia hasil kerjasama pihaknya dengan rangkaian pasar raya terkemuka, K-Citymarket di Helsinki.

Antara produk itu termasuk buah-buahan seperti belimbing, manggis, mangga, buah naga merah, nangka, nanas serta betik manakala barangan industri asas tani adalah Agromas White Coffee, Agromas Seri Kaya Madu, Agromas Kuah Rojak Madu, Agromas Kuah Kacang.

Menurutnya, rangkaian pasar raya K-Citymarket dipilih berikutan kelebihannya sebagai peneraju pasaran peruncitan di Finland.

“Ia menguasai 12 peratus pasaran yang mana pada tahun lalu, K-Citymarket merekodkan sebanyak 18 juta pengunjung di 81 rangkaiannya dengan nilai jualan sebanyak 2.08 bilion euro,” katanya dalam satu kenyataan kepada Bernama, hari ini.

Mohammad Wafiuddin menyifatkan promosi di Finland itu sebagai platform bagi masyarakat tempatan mengenali serta merasa sendiri produk pertanian Malaysia yang terbukti meraih sambutan baik di negara Scandinavia yang lain.

PPP itu sebelum ini mengadakan promosi seumpamanya di Malmo, Sweden, pada 4-5 Mac lepas yang mendapat sambutan amat baik.

Ia sebahagian usaha promosi berterusan PPP The Hague berikutan wujudnya peluang pemasaran hasil agro makanan yang menguntungkan di Sweden dan negara-negara Scandinavia lain.

Katanya, Belanda juga menyediakan potensi besar bagi pasaran produk segar Malaysia kerana menjadi pintu masuk membabitkan 190 juta orang pengguna.