Perluas produk tempatan di rantau Afrika Barat

Perluas produk tempatan di rantau Afrika Barat

KUALA LUMPUR, 7 Feb – Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) merancang menggunakan Nigeria dan Ghana sebagai platform bagi mempromosi produk Malaysia di rantau Afrika Barat.

Pesuruhjaya Perdagangan MATRADE di Afrika Barat, Saifuddin Khalid berkata, rantau itu telah mula membuka ekonomi mereka, menyebabkan peningkatan permintaan untuk produk asing.

“Kami akan lancarkan beberapa program di Nigeria serta Ghana dan menggunakan kedua-dua negara untuk meneroka rantau Komuniti Ekonomi Negara-Negara Afrika Barat (ECOWAS),” tambahnya.

ECOWAS adalah kumpulan serantau 15 negara dengan mandat untuk mempromosi integrasi ekonomi dalam semua bidang aktiviti.

Negara anggota ECOWAS terdiri daripada Benin, Burkina Faso, Cape Verde, Cote d’Ivoire, The Gambia, Ghana, Guinea, Guinea Bissau, Liberia, Mali, Niger, Nigeria, Sierra Leone, Senegal dan Togo.

“ECOWAS mempunyai perjanjian unik di mana produk bergerak bebas di antara 15 negara berkenaan. Ini adalah peluang syarikat Malaysia untuk berkembang di sana, di samping kelebihan bahasa.

“Ghana dan Nigeria menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa perantaraan. Dengan strategi dan rakan kongsi yang betul, syarikat Malaysia boleh berjaya dalam pasaran ini” kata Saifuddin.

Menurutnya, Ghana akan menjadi laluan sesuai ke Burkina Faso, Mali dan Niger kerana ia berhampiran negara terlibat.

“Ghana adalah laluan ke ketiga-tiga negara kerana mereka dikelilingi daratan dan tidak mempunyai pelabuhan. Oleh itu produk perlu masuk melalui Ghana, Congo atau Benin untuk sampai ke sana.

Saifuddin berkata, Malaysia mempunyai hubungan yang baik dengan Afrika Barat sebelum rantau itu dilanda ketidaktentuan politik pada 1990-an, yang menyebabkan syarikat Malaysia menarik balik pelaburan mereka.

“Kita telah menyaksikan pemulihan dalam persekitaran politik mulai awal 2000 apabila mereka mula menjalankan pilihan raya. – Bernama