Perlumbaan bertukar tragedi

Perlumbaan bertukar tragedi

ARRECIFES, ARGENTINA, 3 Jan (AFP) – Sekurang-kurangnya 10 penonton cedera, termasuk lima parah selepas sebuah kereta yang dipandu laju terbabas dan merempuh penonton ketika prolog perlumbaan Rali Dakar pada Sabtu.

Penganjur perlumbaan berkata, insiden itu membabitkan kereta Mini yang dipandu peserta China, Guo Meiling menyebabkan prolog perlumbaan itu yang diadakan sebelum saingan sebenar hari ini terpaksa ‘diredakan’ dan kemudiannya dibatalkan.

Kereta Guo terbabas dari laluan ketika memandu pada jarak 6.6 kilometer dalam prologue 11 kilometer di kawasan berdekatan Arrecifes, bandar kecil terletak 200 kilometer dari ibu negara Argentina, Buenos Aires.

Keadaan kereta Mini yang dipandu peserta China, Guo Meiling selepas terbabas dan merempuh penonton ketika prolog perlumbaan Rali Dakar pada Sabtu. – AFP
Keadaan kereta Mini yang dipandu peserta China, Guo Meiling selepas terbabas dan merempuh penonton ketika prolog perlumbaan Rali Dakar pada Sabtu. – AFP

Ketua perlumbaan kemudiannya menghantar empat helikopter perubatan, tiga kenderaan perubatan milik penganjur dan lapan ambulans tempatan ke tempat kejadian.

Setiausaha Kesihatan Arrecifes, Carlos Mondino berkata, seorang lelaki dan anak lelakinya berusia 14 tahun adalah mangsa paling serius dan terpaksa dikejarkan ke hospital.

“Keseluruhan jumlah pesakit yang kami peroleh ialah 10 orang termasuk empat kanak-kanak dan seorang wanita mengandung yang dalam keadaan baik,” kata ketua hospital tempatan, Daniel Modesto. Sementara itu, pengarah perlumbaan, Etienne Lavigne berkata, berpuluh orang mengalami kecederaan termasuk Guo.

ARTIKEL YANG SAMA