Perlumbaan Dakar terpaksa dibatalkan

Perlumbaan Dakar terpaksa dibatalkan

BUENOS AIRES, 4 Jan (Reuters)  – Peringkat pembukaan Rali Dakar di Argentina dibatalkan disebabkan cuaca buruk semalam, sehari selepas prolog terpaksa ditinggalkan apabila sebuah kereta merempuh orang ramai dan mencederakan lapan orang penonton.

Pengarah perlumbaan Etienne Lavigne berkata helikopter yang diperlukan untuk menjamin keselamatan peserta tidak dapat melakukan penerbangan disebabkan ribut petir yang menjejas peringkat dari Rosario ke Villa Carlos Paz. Kereta, trak, motosikal dan basikal kuad yang bertanding sedang dalam perjalanan ke akhir peringkat di bawah keadaan terkawal.

Rali Dakar tahunan, yang bermula sebagai perlumbaan ketahanan dari Paris menyeberangi Sahara ke ibu negara Senegal Dakar, telah diadakan di Amerika Selatan sejak 2009 atas sebab-sebab keselamatan.

Acara pada tahun ini bermula dan berakhir di Argentina dengan kemasukan ke Bolivia selepas Peru menarik diri disebabkan ramalan untuk corak cuaca El Nino yang telah mengakibatkan banjir dan runtuhan tanah sebelum itu.

Prolog terpaksa dihentikan apabila sebuah Mini Cooper yang dipandu oleh pemandu China Guo Meiling terbabas di Arrecifes berhampiran Rosario dan terlanggar penonton, mencederakan lapan orang termasuk tiga kanak-kanak dan seorang wanita hamil.

ARTIKEL YANG SAMA