Perlumbaan Go-Kart BSB, 22 Nov ini

Perlumbaan Go-Kart BSB, 22 Nov ini

Oleh Pg Fairol RMF

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 Nov – Bandar Seri Begawan sekali lagi bakal menyaksikan pelumba-pelumba go-kart tempatan dan luar negara beraksi untuk merebut gelaran juara dalam Perlumbaan Go-Kart BSB 2015 yang akan berlangsung pada 22 November ini.

Perlumbaan itu akan menguji kemahiran dan keupayaan para pelumba di sepanjang litar perlumbaan Jalan McArthur dan Jalan Sultan Omar Ali Saifuddien.

Diadakan sempena Sambutan Ulang Tahun Penukaran Nama Bandar Brunei kepada Bandar Seri Begawan, perlumbaan ini dianjurkan oleh Jabatan Bandaran Bandar Seri Begawan, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dengan kerjasama Persatuan Go-Kart Brunei Darussalam dan D’Sunlit Sdn Bhd sebagai rakan strategik pengendali acara.

Selain menyaksikan perlumbaan Go-Kart, orang ramai juga boleh mengikuti pelbagai aktiviti yang akan diadakan di Dermaga Diraja Bandar Seri Begawan dan juga Taman Haji Sir Muda Omar Ali Saifuddien selama tiga hari berturut-turut.

Gambar fail Go-Kart yang berlangsung sebelum ini.
Gambar fail Go-Kart yang berlangsung sebelum ini.

Antara aktiviti yang bakal diadakan termasuk pameran E-Vendors yang disertai oleh beberapa pengusaha dalam talian dengan menawarkan produk dan perkhidmatan mereka di Dermaga Diraja Bandar Seri Begawan.

Para pengunjung juga akan dihiburkan dengan beberapa aktiviti seperti melukis muka dan henna, peraduan musik akustik, ‘Air Wheels’ dan banyak lagi.

Di Taman Haji Sir Muda Omar Ali Saifuddien, antara aktiviti yang disediakan termasuk Flying Fox, basikal yang mempunyai beberapa tempat duduk dan pertandingan Frisbee yang menawarkan hadiah wang tunai dan pingat.

Untuk menyertai pertandingan berkenaan, orang ramai boleh menghubungi Adib di talian 8796851 atau Arif di talian 8903654.

ARTIKEL YANG SAMA