Perlumbaan lebih berkualiti, kompetitif

Perlumbaan lebih berkualiti, kompetitif

Oleh Normazlina M.D

TUTONG, 11 Okt – Seramai 32 peserta dari dalam dan luar negara yang berpengalaman dan berkemahiran menyertai Cabaran Motocross Brunei Darussalam 2015 di kawasan tanah lapang Sungai Besar, Tutong dan menjadikan perlumbaan ini lebih berkualiti, menarik dan kompetitif.

Penyertaan daripada para pelumba berkemahiran tinggi ini sudah setentunya membakar semangat penggemar-penggemar sukan lasak tersebut khususnya anak muda dan seterusnya melahirkan ramai lagi para pelumba baru di masa akan datang.

Salah seorang peserta tempatan yang merupakan seorang peserta perempuan, Liyana binti Zakaria, 24, menjelaskan beliau menyertai perlumbaan Motocross hanya sekadar mencari pengalaman.

“Sebelum ini saya pernah menyertai pertandingan Motosikal Caprix pada tahun 2011 dan setelah perlumbaan Caprix ditiadakan, saya cuba beralih kepada Cabaran Motocross. Saya berasa sangat teruja bercampur-baur dengan rasa takut kerana pertama kali menyertai Cabaran Motocross ini,” jelasnya dalam satu temu bual.

Dayang Liyana Zakaria, salah seorang peserta perempuan menyertai Cabaran Motocross tahun ini.
Dayang Liyana Zakaria, salah seorang peserta perempuan menyertai Cabaran Motocross tahun ini.

Liyana turut menjelaskan dalam perlumbaan tersebut, cabaran yang perlu diatasi ialah tatkala melalui jalan yang berbecak-becak sambil menambah, beliau berlatih hanya beberapa bulan saja sebelum menyertai cabaran itu.

Justeru, beliau turut menyarankan kepada kaum wanita yang berminat dengan sukan lasak itu agar mempunyai sikap berani dan sentiasa mendapatkan sokongan daripada ibu bapa serta rakan-rakan lain.

Sementara itu, turut menyertai Cabaran Motocross tersebut ialah para peserta dari luar negara seperti Malaysia dan Indonesia. Peserta dari Indonesia, Pedro Wuner, menjelaskan mereka sering dijemput menyertai cabaran itu, dan pada tahun ini merupakan kali keempat beliau bersama-sama temannya Ariandy menyertai Cabaran Motocross berkenaan.

Pedro Wuner dengan perasaan terujanya, berharap akan memenangi perlumbaan itu terutama dalam kategori Motocross Terbuka.

Sementara, dua peserta dari negeri Sabah, Joseph Woon dan Suriansah @ Yanz menjelaskan seramai 15 peserta dari negeri tersebut menyertai Cabaran Motocross tahun ini dan merupakan penyertaan kali ketiga mereka.

Suriansah berpendapat Cabaran Motorcross yang diadakan di negara ini perlu diteruskan kerana aktiviti sukan lasak ini sememangnya diminati ramai, selain merupakan aktiviti sihat yang mampu merapatkan lagi hubungan negara-negara luar dan Negara Brunei Darussalam.

ARTIKEL YANG SAMA