Perlumbaan perahu naga bantu promosi budaya China

HOUSTON – Sebanyak 40 pasukan perahu naga yang bersaing di perlumbaan Regatta Perahu Naga Antarabangsa Teluk Pantai ke-14 yang diadakan baru-baru ini di Houston, Texas.

Semua pasukan yang menyertai acara tersebut dibahagikan kepada empat kumpulan iaitu pasukan korporat, komuniti, remaja dan kelab.

Acara tersebut telah dianjurkan oleh Persatuan Perahu Naga Texas yang merupakan sebuah pertubuhan bukan berasaskan keuntungan yang mana telah berjaya menarik ratusan warga tempatan di Houston.

“Perahu naga bukan sahaja memberikan pengalaman untuk meningkatkan semangat berpasukan di kalangan para peserta malah ia juga turut memberikan peluang untuk meningkatkan persefahaman dan hubungan persahabatan antara China dan AS sekaligus menggalakkan dialog antara budaya yang pelbagai,” jelas Presiden dan Pengarah Eksekutif Persatuan Perahu Naga Texas, David Mandell.

Selain pertandingan perahu naga, terdapat juga amalan budaya Taichi dan Kung Fu dipersembahkan pada acara tersebut termasuk beberapa persembahan tradisional budaya Asia termasuk tarian tradisi Korea.

Kelihatan salah satu pasukan yang cukup bersemangat ketika menyertai acara perlumbaan perahu naga di Houston.
Antara acara menarik lain adalah amalan teknik Tai Chi yang merupakan sebahagian daripada kebudayaan China.

Tim Burnett yang telah mempraktikkan seni mempertahankan diri yang berasal dari China iaitu Kung Fu sejak lapan tahun lalu dan menjelaskan bahawa ia juga merupakan satu senaman yang cukup baik untuk membina ketahanan fizikal dan mental di dalam diri seseorang individu.

Di samping itu, dia juga mengongsikan pengalaman melakukan amalan Tai Chi sejak beberapa bulan yang lalu dan menjelaskan bahawa pergerakan yang perlahan dalam senaman tersebut jelas cukup sesuai untuk dilakukan oleh individu yang seusia dengannya demi mengekalkan tahap kesihatan yang lebih baik.

“Tahap kesihatan saya setentunya akan berada pada tahap yang tidak stabil sekiranya saya tidak mengamalkan aktiviti cergas seperti Kung Fu dan Tai Chi di mana ia adalah sebahagian daripada budaya dari China.

Walaupun aktiviti ini agak sukar untuk dipraktikkan pada peringkat awal namun secara perlahan-lahan melalui kelas yang diikuti teknik dan langkah yang dipraktikkan dalam Kung Fu dan Tai Chi berjaya juga saya kuasai di mana ia merupakan satu pengalaman yang cukup menyeronokkan,” jelas Burnett.

Kelab Houston Chinese American Lions telah mula menganjurkan Festival Perahu Naga Houston pada Oktober 2001 di mana ia disertai oleh lapan kumpulan yang bertanding.

Kemudian pada tahun 2003, Persatuan Perahu Naga Texas telah membuat keputusan untuk bekerjasama dengan kelab tersebut untuk mempromosikan budaya dan tradisi perahu naga di mana ia secara tidak langsung turut meningkatkan kesedaran terhadap keistimewaan dan keunikan budaya Asia terhadap komuniti di AS sekaligus meningkatkan persefahaman silang budaya di antara kedua-dua buah negara.

Berikutan daripada kejayaan terhadap acara perlumbaan perahu naga di Houston pada Mei 2003, organisasi itu juga telah menambah lagi sebuah acara iaitu Regatta Perahu Naga Antarabangsa Teluk Pantai sekaligus menganjurkan dua acara perlumbaan perahu di sekitar kawasan Houston pada setiap tahun. – Xinhua