Perlumbaan rai Jubli Emas

Perlumbaan rai Jubli Emas

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 Ogos – Ratusan peserta berkumpul dari awal pagi lagi untuk sama-sama mengenali dengan lebih dekat peranan dan fungsi serta keindahan sejarah Brunei menerusi acara perlumbaan yang julung-julung kali diadakan iaitu Perlumbaan Muzium-muzium Brunei (Museums Race Brunei) yang bermula di Taman Permainan Jerudong, hari ini.

Acara perlumbaan yang merupakan salah satu acara untuk meraikan sambutan Jubli Emas Penubuhan Jabatan Muzium-muzium dirasmikan oleh Setiausaha Tetap, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Dato Paduka Dr Haji Affendy bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin.

Turut hadir ialah Kurator Ilmu Kejadian, Yang Amat Mulia Pengiran Muda Omar Ali, Pengarah Jabatan Muzium-muzium, Pengiran Dr Karim bin Pengiran Haji Osman, pegawai-pegawai kanan, pegawai serta kakitangan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan dan Jabatan Muzium-muzium.

Perlumbaan yang bermula dari Taman Permainan Jerudong, disertai oleh lebih 90 pasukan termasuk Yang Amat Mulia Pengiran Anak Khaliilah Khalilatul Bolqiah dan Yang Amat Mulia Pengiran Anak Naafi’ah Khairul Bulqiah yang turut berkenan menyertai perlumbaan dalam Pasukan No. 74.

Acara perlumbaan bermula dengan sesi senamrobik beramai-ramai yang diketuai oleh kumpulan Crossfit Reebok 673 dan diikuti dengan pelancaran serta pelepasan pasukan-pasukan perlumbaan berkenaan oleh Dato Paduka Dr Haji Affendy.

Yang Amat Mulia Pengiran Muda Omar Ali (kanan) bersama Dato Paduka Dr Haji Affendy melancarkan perlumbaan.
Yang Amat Mulia Pengiran Muda Omar Ali (kanan) bersama Dato Paduka Dr Haji Affendy melancarkan perlumbaan.
Yang Amat Mulia Pengiran Muda Omar Ali dan Dato Paduka Dr Haji Affendy bergambar ramai dengan ahli-ahli jawatankuasa acara perlumbaan berkenaan.
Yang Amat Mulia Pengiran Muda Omar Ali dan Dato Paduka Dr Haji Affendy bergambar ramai dengan ahli-ahli jawatankuasa acara perlumbaan berkenaan.
Yang Amat Mulia Pengiran Anak Khaliilah Khalilatul Bolqiah dan Yang Amat Mulia Pengiran Anak Naafi’ah Khairul Bulqiah juga berkenan mengambil bahagian dalam perlumbaan itu dalam Pasukan No.74.
Yang Amat Mulia Pengiran Anak Khaliilah Khalilatul Bolqiah dan Yang Amat Mulia Pengiran Anak Naafi’ah Khairul Bulqiah juga berkenan mengambil bahagian dalam perlumbaan itu dalam Pasukan No.74.

Pasukan-pasukan yang menyertai perlumbaan itu diberikan peluang untuk memilih lokasi pertama di mana setiap pasukan terdiri daripada empat anggota dan akan menerokai ke tempat-tempat bersejarah di seluruh negara.

Perlumbaan yang unik itu dijalankan selama tiga minggu iaitu pada 16, 23 dan 30 Ogos di zon-zon yang dikenal pasti di Daerah Brunei Muara dan Daerah Tutong.

Penyelaras Perlumbaan Muzium-muzium Brunei, Hajah Kolam binti Haji Gapar dalam temu bual ringkas bersama Media Permata berkata bahawa acara perlumbaan itu selain dari sebagai salah satu acara bagi memeriahkan lagi sambutan jubli emas jabatan berkenaan, juga dihasratkan untuk meningkatkan kesedaran orang ramai khususnya golongan belia mengenai dengan tugas dan peranan jabatan berkenaan serta muzium-muzium Brunei.

Beliau berkata bahawa orang yang sering berkunjung ke muzium-muzium memahami mengenai peranan dan tugas yang dilaksanakan di muzium berkenaan tetapi dengan pendekatan perlumbaan selama tiga minggu itu, diharap mereka yang kurang mengenali muzium dan golongan belia akan lebih memahami mengenai keunikan dan peranan muzium-muzium itu.

Mengulas mengenai penyertaan peserta dalam perlumbaan itu, Hajah Kolam berkata bahawa jumlah penyertaan adalah amat menggalakkan di mana lebih 90 pasukan mengambil bahagian iaitu kira-kira 400 orang peserta.

pg08_150817_e

Para peserta menanti perlumbaan bermula.
Para peserta menanti perlumbaan bermula.

pg08_150817_b

Manakala itu, ketika menjawab persoalan jika perlumbaan itu akan menjadi acara tahunan, beliau berkata bahawa keputusan belum lagi dibuat mengenai perancangan untuk menjadikan acara perlumbaan itu sebagai acara tahunan tetapi penyertaan bagi acara itu adalah amat menggalakkan.

Hajah Kolam juga berkata bahawa Jabatan Muzium-muzium terus merancang kaedah baru untuk menggalakkan lebih banyak orang untuk berkunjung dan mengenali muzium-muzium serta sejarah negara.

Salah satu kaedah adalah melalui penyebaran maklumat di laman media sosial seperti Facebook bagi menyebarkan maklumat mengenai perkembangan terkini muzium serta juga pihak jabatan sedang melihat kepada kemungkinan penyediaan aplikasi mudah alih muzium yang memberikan maklumat-maklumat terkini dan lebih terperinci bukan sahaja mengenai peranan muzium tetapi juga sejarah Brunei.

Ia dihasratkan dapat mengenalkan tempat-tempat warisan dan bersejarah kepada orang ramai melalui kegiatan-kegiatan yang mencabar dalam bentuk fizikal serta menguji minda mereka.

Selain menambah ilmu pengetahuan mengenai budaya negara, melalui penyertaan mereka itu, diharap para peserta akan mengenal lebih dekat muzium-muzium dan galeri yang ada serta mengetahui bidang tugas yang dilaksanakan.

Maklumat lanjut mengenai perlumbaan itu boleh diakses melalui laman sesawang, www.museumsracebrunei.com dan akan dikemaskini melalui media sosial Jabatan Muzium-Muzium Brunei.