Perlunya pendidikan holistik

Perlunya pendidikan holistik

Oleh Siti Nur Wasimah S.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 Jun – Dalam memenuhi keperluan industri, adalah tidak mencukupi untuk menyediakan anak-anak tempatan dengan kemahiran spesifik sahaja, kerana persekitaran kerja pada masa ini memerlukan pekerja untuk menjalankan skop kerja yang lebih meluas.

OIeh itu, pendidikan holistik adalah perlu, yang mana pendidikan teknikal dan vokasional dijangka mampu melahirkan tenaga yang mempunyai lebih daripada pengetahuan dan kemahiran.

Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong, menekankan ciri-ciri seperti motivasi, kemahiran komunikasi, pemikiran kritis dan kreatif, penyelesaian masalah dan kemahiran keusahawanan juga adalah kemahiran-kemahiran yang perlu dimiliki.

Sehubungan dengan itu, beliau menyarankan supaya ia diambil kira dalam menyediakan para pelajar supaya mereka lebih ‘employable’ dan ‘marketable’.

Yang Berhormat Pehin menyatakan perkara ini ketika menyampaikan ucapan di Majlis Konvokesyen Institut Pendidikan Teknikal Brunei ke-22 yang telah berlangsung di Dewan Musyawarah, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, pagi tadi.

Yang Berhormat Pehin Haji Awang Abu Bakar semasa menyampaikan ucapan alu-aluan di Majlis Konvokesyen IBTE ke-22, kelmarin.
Yang Berhormat Pehin Haji Awang Abu Bakar semasa menyampaikan ucapan alu-aluan di Majlis Konvokesyen IBTE ke-22, kelmarin.

Terdahulu itu, Yang Berhormat Pehin menekankan bahawa Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) kini menjalani proses transformasi yang telah membawa pelbagai perubahan yang ketara.

Salah satu perubahan itu adalah penubuhan Lembaga Tadbir Urus IBTE, baru-baru ini, yang menurut beliau, bertujuan untuk memberikan hala tuju strategik dan nasihat bagi IBTE dan pendidikan teknikal dan vokasional secara menyeluruh di Negara Brunei Darussalam.

“Komposisi ahli Lembaga Tadbir Urus yang terdiri daripada pegawai-pegawai kanan kerajaan dan sektor swasta akan membawa IBTE mencapai visinya untuk menjadi sebuah institusi lepasan menengah yang terkemuka bagi pendidikan dan latihan teknikal vokasional di negara ini menjelang tahun 2018.”

Di samping itu, tambah Yang Berhormat Pehin, perlaksanaan perubahan struktur organisasi yang berorientasikan tadbir urus korporat bagi IBTE ini adalah diharapkan akan menggalakkan IBTE untuk memperkembangkan kerjasama dengan pelbagai pihak berkepentingan termasuk pihak industri, komuniti, ibu bapa, penjaga, para pelajar dan akademik serta profesional yang lain.

Yang Berhormat Pehin menekankan, kerjasama yang erat antara pihak yang berkepentingan termasuk industri dan sektor awam adalah salah satu kunci kejayaan program IBTE.

“Kita telah melihat contoh kerjasama bagi Program Sijil Kelayakan Kemahiran Industri (ISQ). Program ini adalah program yang ditawarkan oleh IBTE dengan kerjasama Jabatan Tenaga di Jabatan Perdana Menteri dan pihak industri minyak dan gas di negara ini melalui Energy Industry Competency Framework (EICF).”

Di sini, jelas Yang Berhormat Pehin, kerjasama termasuk dalam perancangan, pembangunan dan penyampaian kurikulum. Dengan keyakinan, para majikan telah menawarkan tawaran kerja bersyarat kepada pelajar-pelajar walaupun mereka belum menamatkan kursus masing-masing.

“Saya harap ini akan dapat diteruskan dan dikembangkan lagi kepada sektor-sektor industri yang lain. Saya juga ingin menyeru kepada pihak industri supaya akan meneruskan komitmen tinggi dalam menyumbangkan tenaga dan buah fikiran serta bersedia untuk berganding bahu dengan pihak IBTE bagi membentuk rangka kerja kemahiran industri.”

Yang Berhormat Pehin menambah, pihak industri akan dapat membantu dalam menyediakan maklumat berkenaan sumbar tenaga manusia yang diperlukan demi memastikan kursus-kursus yang ditawarkan oleh IBTE sentiasa relevan dan menepati dengan keperluan industri itu sendiri.

Dalam pada itu, Yang Berhormat Pehin turut menyarankan agar semua tenaga pengajar di institusi pendidikan teknik didedahkan dengan pengalaman industri yang berkaitan.

“Ini akan dapat memberikan keyakinan dalam diri para pengajar khususnya dalam memberikan tunjuk ajar dari segi kemahiran dan kompetensi yang bertepatan dengan keperluan pihak industri.”

Yang Berhormat Pehin kemudian menyeru para graduan supaya membina kerjaya masing-masing dengan mengutamakan nilai-nilai kerohanian, nilai-nilai etika dan moral tinggi dengan sentiasa menghayati nilai-nilai Melayu Islam Beraja.

ARTIKEL YANG SAMA