Perlunya perbincangan mengenai strok

KOTA KINABALU, 7 Mac – Presiden Persatuan Radiologi Intervensional Malaysia(MYSIR) Dr Jeyaledchumy Mahadevan berkata perbincangan mengenai penyakit strok sangat penting bagi meningkatkan keupayaan perubatan di negara ini kerana ia merupakan antara pembunuh utama di dunia pada masa kini.

Beliau berkata sesiapa sahaja tanpa mengira umur boleh mengalami penyakit strok dan setiap tahun kira-kira 40,000 rakyat Malaysia akan terkena strok.

“Antara penyebab utama penyakit ini adalah masalah tekanan yang menimpa individu berkenaan, selain faktor pengambilan makanan. Oleh itu, pada persidangan Asian-Australasian Federation of Interventional and Therapeutic Neuroradiology (AAFITN) kali ini kita akan membincangkan secara terperinci mengenai penyakit strok,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis perasmian persidangan itu oleh Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Seri Masidi Manjun, di sini hari ini.

Persidangan selama tiga hari sehingga Jumaat ini disertai 600 pakar perubatan khususnya dalam bidang neuroradiologi dan radiologi dari 17 negara di rantau ini, katanya.

“Selain membincangkan mengenai strok, persidangan bertemakan ‘Memperkukuh asas, meneroka konsep baharu’ dengan memberi tumpuan kepada cabaran penyakit strok di rantau ini, kita juga akan membincangkan topik lain dalam bidang radiologi umum termasuk radiologi dada dan radiologi payudara,” katanya.

Sementara itu, Masidi berkata penganjuran persidangan itu sangat bertepatan untuk membincangkan secara terperinci mengenai strok kerana ia merupakan penyakit yang sangat berbahaya.

“Saya berharap persidangan ini akan meningkatkan lagi keupayaan perubatan khususnya mengenai penyakit strok di negara ini. Kemajuan bidang perubatan akan mempertingkat pelancongan kesihatan ke negara ini. Ramai yang akan datang ke negara kita untuk mendapat rawatan,” katanya. – Bernama