Perlunya pertumbuhan ekonomi

Perlunya pertumbuhan ekonomi

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 Okt – Menteri Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan II, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Pekerma Dewa Dato Seri Setia Lim Jock Seng telah menerima Laporan Majlis Penasihat Perniagaan APEC Brunei, ABAC 2015 yang diserahkan dalam majlis yang diadakan di Bangunan Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan, baru-baru ini.

Hadir untuk menyerahkan laporan ABAC 2015 ialah dua orang ahli ABAC Brunei iaitu Ketua Pegawai Eksekutif BAG Networks, Dayang Haslina binti Taib dan Pengarah/ Pemegang Saham Kumpulan Syarikat LVK, Dayang Hafimi binti Abdul Haadi.

Selaras dengan tema yang diketengahkan bagi 2015, ‘Resilient, Inclusive Growth: A Fair Deal for All’, laporan berkenaan meneruskan cadangan dan pandangan bersama mengenai keutamaan bagi sektor perniagaan yang khusus bagi bukan sahaja perniagaan-perniagaan malahan juga bagi pemimpin-pemimpin ekonomi APEC.

Laporan itu menyeru bagi perlunya meningkatkan lagi pertumbuhan ekonomi dan kemakmuran serantau dengan memperkukuhkan lagi komuniti Asia Pasifik dengan penekanan kepada empat tunggak utama.

Tunggak yang diketengahkan dalam laporan itu adalah untuk memperkembangkan lagi agenda perkhidmatan dan integrasi ekonomi serantau, mengukuhkan dan memudahkan kemasukan perusahaan mikro, kecil dan sederhana ke dalam pasaran global, memaksimumkan potensi inovasi dan kapita sumber manusia serta mempromosikan komuniti yang berdaya tahan dan bandar-bandar yang boleh dihuni serta mapan.

Yang Berhormat Pehin Lim Jock Seng menerima laporan ABAC dari Dayang Haslina dan Dayang Hafimi.
Yang Berhormat Pehin Lim Jock Seng menerima laporan ABAC dari Dayang Haslina dan Dayang Hafimi.

Laporan itu diberikan untuk pertimbangan dan dibincangkan semasa Sidang Kemuncak Pemimpin APEC yang akan berlangsung di Manila, Filipina pada November nanti.

Ia juga mengandungi surat yang dialamatkan kepada Pengerusi APEC dan Presiden Republik Filipina, Tuan Yang Terutama Benigno S. Aquino III yang disokong oleh kesemua ahli ABAC termasuk Brunei yang memberikan penekanan kepada beberapa isu-isu penting.

Surat itu menyeru kepada kerajaan ekonomi-ekonomi APEC untuk mendalamkan lagi perbincangan dengan sektor swasta untuk mencapai integrasi ekonomi serantau yang lebih dalam dan menyeluruh serta menyeru APEC untuk terus menggunakan mekanisme dialog swasta-awam yang dibangunkan oleh ABAC untuk meningkatkan lagi pembiayaan projek-projek infrastruktur.

ABAC ditubuhkan oleh pemimpin-pemimpin ekonomi APEC pada November 1995 untuk memberikan nasihat mengenai pelaksanaan Agenda Tindakan Osaka dan juga keutamaan-keutamaan sektor perniagaan khusus serta untuk memberi respons kepada permintaan mengenai maklumat berhubung dengan isu-isu perniagaan APEC, di samping menyediakan perspektif perniagaan dalam bidang-bidang kerjasama khusus.

ARTIKEL YANG SAMA