Permainan hambar Real bawa padah

Permainan hambar Real bawa padah

MADRID, 14 Dis (AFP) – Jurulatih Real Madrid, Rafael Benitez seperti hilang kata-kata selepas prestasi buruk separuh masa pertama skuadnya ke atas Villarreal, sekali gus kalah untuk kali ketiga dalam aksi La Liga, awal pagi tadi.

Real kini ketinggalan daripada pendahulu liga, Barcelona dan Atletico Madrid dengan lima mata selepas kalah 1-0 kepada Villarreal menerusi jaringan tunggal Roberto Soldado pada minit ke-8.

Selepas aksi rapuh pada babak awal, anak buat Benitez kembali menguasai permainan babak kedua namun mensia-siakan beberapa peluang untuk membolosi gawang tuan rumah.

Karim Benzema memperoleh peluang termasuk melakukan hatrik manakala Cristiano Ronaldo gagal menyerlah selepas menerima tekanan daripada Benitez.

“Sukar untuk menjelaskannya kerana pada separuh masa pertama kami tidak bermain baik dan saya jangkakan separuh kedua kita bangkit namun gagal mencari gawang,” kata Benitez.

Persembahan hambar Real Madrid membuatkan pasukan tersebut ditundukkan oleh Villareal. – AFP
Persembahan hambar Real Madrid membuatkan pasukan tersebut ditundukkan oleh Villareal. – AFP

Madrid terlepas peluang terbaik untuk merapatkan jurang mata dengan Barca yang hanya berkongsi mata dengan Deportivo la Coruna, Sabtu lalu meskipun selepas mendahului dua gol ketika permainan berbaki 15 minit lagi.

Benitez bagaimanapun enggan mengaku kalah awal dalam saingan merebut takhta La Liga kerana baginya persaingan masih jauh apabila masih ada baki 23 perlawanan musim ini.

“Saya kira ia adalah satu saingan liga yang setiap pasukan akan kehilangan mata.

“Perkara penting ialah meneruskan saingan dan tingkatkan permainan seperti yang kami lakukan pada babak kedua yang membolehkan kita memperoleh kemenangan,” katanya.

Madrid terus dirundung malang dan tertekan selepas kekalahan mengaibkan 4-0 kepada Barcelona, bulan lalu.

ARTIKEL YANG SAMA