Permainan video dalam talian jadi kerjaya professional

Permainan video dalam talian jadi kerjaya professional

PUTRAJAYA, 10 Sept – Mula bermain permainan video dalam talian sebagai hobi masa lapang, ia kini menjadi kerjaya profesional kepada Chai Yee Fung atau lebih dikenali sebagai Mushi.

Selepas hampir 10 tahun, minat mendalamnya kini menjadikan beliau seorang daripada 10 pemain profesional Defence of The Ancient 2 (Dota 2), iaitu satu permainan video dalam talian dengan pelbagai pemain di dunia, malah mendapat tajaan dari syarikat-syarikat permainan siber.

Mushi memenangi pelbagai pertandingan antarabangsa sejak 2012 dan antara pencapaian tertingginya ialah tempat ketiga kejohanan berprestij permainan video dalam talian, The International 2013, dan tempat ke-4 pada The International 2014.

Menghabiskan masa kira-kira lapan jam setiap hari, Mushi, 25, bersama empat lagi ahli pasukan yang dikenali sebagai Fnatic yang tinggal serumah, akan menjalani latihan bermain permainan video dalam talian selain menyertai pelbagai pertandingan dari semasa ke semasa.

Selain itu, beliau berkata kumpulannya turut mengadakan perbincangan dari semasa ke semasa untuk mengatur strategi dan taktik bagi menghadapi setiap permainan.

Permainan video dalam talian kini boleh menjadi kerjaya profesional. – Reuters
Permainan video dalam talian kini boleh menjadi kerjaya profesional. – Reuters

“Walaupun mendapat bantahan dan tentangan dari ibu bapa kerana beranggapan hobi bermain permainan video dalam talian ini hanya membuang masa dan tidak mendatangkan faedah, kini mereka sangat kuat memberi sokongan malah sanggup bangun dinihari untuk memberi sokongan kepada saya.

“Ibu bapa saya menukar persepsi selepas saya memenangi beberapa pertandingan dan mendapat tajaan,” katanya selepas majlis pelancaran pertandingan Malaysia Cyber Games oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.

Salleh berkata Kementerian Komunikasi dan Multimedia memberi sokongan kepada pertandingan permainan video dalam talian “Malaysia Cyber Games” untuk melahirkan lebih ramai pemain yang boleh mewakili negara di peringkat antarabangsa.

“Program ini akan memanfaatkan Malaysia dan pada masa yang sama ia dapat mencungkil bakat anak-anak muda terlibat dalam permainan video dalam talian,” katanya, sambil menambah terdapat lebih sejuta golongan muda terlibat dalam permainan video dalam talian.

Malaysia Cyber Games yang julung kali diadakan merupakan anjuran bersama Kementerian Belia dan Sukan, Multimedia Development Corporation Sdn Bhd (MDec), Suara Anak Muda 1Malaysia dan Tune Advertising untuk mencari bakat berumur antara 18 hingga 35 tahun bagi mewakili negara dalam pertandingan permainan video dalam talian di peringkat antarabangsa. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA