Permata Cinta taruhan terbaru dari Aiman Tino

Permata Cinta taruhan terbaru dari Aiman Tino

Oleh Norizan Murshid

 

KUALA LUMPUR – Lagu Ku Rela Di Benci secara tiba-tiba telah menjadi fenomena dan telah mengangkat nama Aiman Tino setanding dengan artis-artis lain di Malaysia.

Atas kejayaan lagu tersebut Aries Music dengan bangganya mengedar dan memasarkan single kedua, Permata Cinta.

Bukti fenomena tercipta dari single pertama apabila lagu tersebut telah mendapat hampir 20 juta tontonan di YouTube.

Mengekalkan genre pop rock merupakan genre kegemaran Aiman Tino, selain pop balada.

Dalam lirik lagu Ku Rela Di Benci, Aiman Tino sebagai penyanyi meluahkan keresahan hatinya berhubung dengan pendirian kekasihnya yang bermain kayu tiga dan mahu perhubungan itu berakhir meskipun dirinya dibenci.

Aiman Tino melancarkan single kedua yang berjudul Permata Cinta.
Aiman Tino melancarkan single kedua yang berjudul Permata Cinta.

Namun dalam Permata Cinta lirik lagu itu lebih memperlihatkan seorang lelaki itu mampu berdiri teguh dengan pendiriannya untuk tetap setia meskipun pihak gadis membuat keputusan sebaliknya.

Mula diedarkan ke stesen-stesen radio di Malaysia pada 27 Oktober yang lalu, Permata Cinta juga kini boleh didapati melalui laman sesawang iTune, Spotify, Jooxm Kkbox dan lain lain.

Berusia 18 tahun, Aiman Tino mahu bergerak aktif sebagai komposer, penulis lirik dan penyanyi selain bercita-cita untuk mengembangkan perniagaan restoran ibu bapanya.

Aiman Tino mahu kekal rendah diri di samping mahu menjadi ikon remaja yang menghormati kedua ibu bapa selain memupuk nilai-nilai murni dalam masyarakat.