Permintaan ke atas pound dijangka hanya untuk tempoh pendek

Permintaan ke atas pound dijangka hanya untuk tempoh pendek

KUALA LUMPUR, 4 Julai – Permintaan ke atas pound British yang meningkat sejak kebelakangan ini, susulan keputusan Britain keluar dari Kesatuan Eropah (EU) atau Brexit, hanya untuk tempoh jangka pendek, kata syarikat rangkaian tukaran mata wang terbesar Malaysia, Merchantrade Asia Sdn Bhd.

“Nilai pound jatuh ke paras paling rendah dalam sejarah selepas Brexit, dan telah menyebabkan permintaan meningkat sedikit dalam pasaran.

“Namun, ia dijangkakan hanya fenomena jangka pendek sahaja memandangkan pasaran semasa agak turun naik berdasarkan pemantauan kami sejak lebih enam bulan,” kata Naib Presiden Eksekutif Bahagian Perkhidmatan Wang dan Pembayaran Perniagaan Merchantrade, Sarveswaran Raja Gopal.

“Apa sahaja boleh menyebabkan perubahan dalam permintaan pada bila-bila masa,” katanya kepada Bernama menerusi temu bual e-mel.

Oleh itu, beliau tidak menjangkakan peningkatan dalam permintaan untuk mata wang itu akan membantu merangsang hasil syarikat itu tahun ini.

“Berbanding pasaran mata wang di Malaysia secara menyeluruh, pound bukan mata wang terbesar yang didagangkan, dan kami tidak melihatnya sebagai penyumbang terbesar kepada pendapatan kami,” katanya.

Sementara itu, Sarveswaran berkata syarikat itu tidak merasakan kesan Brexit walaupun beberapa pengurup wang melaporkan menghadapi masalah kekurangan pound.

“Perniagaan mata wang borong dan pengurup wang masih mempunyai stok yang mencukupi dalam inventori kami,” katanya.

Beliau juga menggalakkan orang ramai supaya menggunakan portal tukaran mata wang dalam talian, e-Forex, atau aplikasi mudah alih untuk menempah atau membeli pound, selain hanya mengunjungi satu kaunter ke kaunter yang lain untuk mendapatkan wang-wang berkenaan.

Dalam referendum pada 23 Jun lepas, 53.4 peratus rakyat negara itu memilih untuk meninggalkan EU manakala 46.6 peratus lagi mahu kekal dalam blok 28 negara anggota itu.

Susulan keputusan yang belum pernah berlaku sebelum ini itu, menyebabkan pound British merudum ke paras paling rendah dalam tempoh tiga dekad berbanding dolar Amerika Syarikat.

Di Malaysia, kadar purata pound dilaporkan kira-kira RM5.90 sebelum Brexit dan menyusut kira-kira lapan peratus selepas keputusan referendum itu diumumkan, sekali gus mencetuskan minat belian ke atas mata wang terbabit. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA