Permintaan terhadap minyak sawit, arang batu kukuh

KUALA LUMPUR, 13 Feb – Permintaan terhadap eksport komoditi mentah terbesar ASEAN, minyak sawit dan arang batu, dijangka kukuh, menurut HSBC Bank Malaysia Bhd.

Ketua Pakar Ekonomi ASEAN HSBC, Joseph Incalcaterra berkata permintaan bagi minyak sawit – sektor yang didominasi Indonesia dan Malaysia dengan 80 peratus daripada pengeluaran dunia – dijangka terus meningkat seiring pertumbuhan pesat jumlah penduduk di India dan Afrika.

Beliau berkata, selain itu, projek di bawah inisiatif Jalur dan Laluan China akan memberi kesan ketara ke atas ekonomi ASEAN dalam tempoh lima tahun akan datang, khususnya Malaysia, Indonesia dan Filipina.

“Kami menganggarkan bagi setiap negara, terdapat projek bernilai 10 hingga 15 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar dalam perancangan.

“Kami yakin kebanyakannya, terutama laluan kereta api, loji penjanaan tenaga dan kemudahan pelabuhan akhirnya akan direalisasikan, memandangkan sifat strategiknya bagi China,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Incalcaterra berkata disebabkan ASEAN mengalami jurang pembiayaan infrastruktur yang besar, projek-projek berkenaan merupakan pembangunan yang dialu-alukan.

Kesimpulannya, seiring permintaan domestik yang akan terus meningkat pada tempoh suku akan datang, pasaran tenaga kerja juga sewajarnya menjadi lebih berdaya tahan. – Bernama