Permohonan biasiswa AS-ASEAN Fulbright hingga 13 Nov ini

Permohonan biasiswa AS-ASEAN Fulbright hingga 13 Nov ini

BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Okt – Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Brunei Darussalam mengumumkan bahawa permohonan bagi Program Biasiswa Lawatan AS-ASEAN Fulbright kini dibukakan dengan tarikh akhir permohonan pada 13 November 2015.

Program ini dibukakan kepada para pegawai fakulti universiti, kementerian hal ehwal luar dan pegawai-pegawai kerajaan, dan kakitangan profesional kumpulan pemikir serta pertubuhan-pertubuhan lain di Negara Brunei Darussalam.

Menurut kenyataan kedutaan itu, di sini, hari ini, program ini merangkumi pembiayaan penuh perjalanan ke AS bagi penyelidikan akademik dan profesional serta pertukaran berhubung topik-topik berkaitan dengan ASEAN.

Sehubungan itu, mereka yang berminat boleh melayari laman sesawang kedutaan berkenaan http://brunei.usembassy.gov/fulbrightprogram/us-asean-fulbright-initiative.html untuk mendapatkan butiran lanjut mengenai cara permohonan.

Kedutaan berkenaan, dalam kenyataannya menjelaskan, program ini diumumkan oleh bekas Setiausaha Negara AS, Hillary Clinton pada Mesyuarat Menteri-menteri AS-ASEAN 2010 dan menandakan lebih 35 tahun persahabatan dan kerjasama di antara ASEAN dan AS.

Objektifnya adalah untuk meningkatkan penglibatan orang ke orang dan mengukuhkan hubungan pendidikan.

Ini merupakan tahun keempat inisiatif berkenaan diadakan, yang mana setakat ini, seramai 26 orang dari kesemua 10 negara anggota ASEAN, termasuk dua dari Brunei, telah dianugerahkan biasiswa untuk melanjutkan pengajian yang memfokuskan ke atas pelbagai subjek termasuk pengajaran Bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua, sekuriti marin, perubahan iklim, kesihatan, keselamatan politik dan penyeludupan hidupan liar.

Program Fulbright ditubuhkan pada 1946 di bawah perundangan yang diperkenalkan oleh mendiang Senator AS, J. William Fulbright dan ditaja oleh Jabatan Negara AS dengan kerjasama kerajaan-kerajaan di seluruh dunia.

Ia merupakan program pertukaran pendidikan antarabangsa kemegahan AS dan direka untuk meningkatkan pemahaman bersama di antara rakyat AS dan rakyat di negara-negara lain.

Kira-kira 318,000 penerima biasiswa Fulbright, 120,000 dari Amerika Syarikat dan 198,000 dari negara-negara lain, telah menyertai program berkenaan sejak pelancarannya lebih 60 tahun lalu.

Setiap tahun ia dianugerahkan kepada kira-kira 8,000 orang penerima baru dan beroperasi di lebih 155 buah negara di seluruh dunia.

ARTIKEL YANG SAMA