Permohonan biasiswa Fulbright 2017-2018 dibuka

Permohonan biasiswa Fulbright 2017-2018 dibuka

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 April – Amerika Syarikat (AS) terus mengalu-alukan kerjasama dengan kerajaan Brunei khususnya dalam penghantaran lebih banyak pelajar Brunei untuk melanjutkan pengajian mereka ke universiti-universiti dan institusi pengajian tinggi di AS.

Kerjasama dan pertukaran dalam bidang pendidikan di antara Negara Brunei Darussalam dan AS itu merupakan salah satu tunggak utama asas hubungan persahabatan yang sudah melebihi 170 tahun di antara kedua-dua buah negara.

Salah satu program pendidikan yang banyak menyaksikan dan memberikan peluang kepada penuntut Brunei termasuk profesional muda untuk melanjutkan pengajian dan menimba ilmu pengetahuan di institusi-institusi pengajian bertaraf dunia di AS ialah menerusi Program Fulbright.

Sehubungan dengan itu, Kedutaan AS di Negara Brunei Darussalam mengalu-alukan warganegara dan penduduk tetap Negara Brunei Darussalam untuk memohon menyertai program Biasiswa Pengajian Graduan Fulbright bagi tahun akademik 2017-2018.

Kedutaan AS menyatakan bahawa program biasiswa itu adalah bagi penuntut-penuntut lanjutan terutama golongan muda dalam pertengahan kerjaya mereka yang ingin melanjutkan pengajian graduan dalam pelbagai bidang.

Program Fulbright merupakan program pendidikan antarabangsa utama yang ditaja oleh kerajaan AS dengan matlamat untuk meningkatkan kerjasama bersama di antara rakyat dan penduduk AS dengan negara-negara lain.

Menurut Kedutaan AS, para pemohon yang berminat menyertai program berkenaan dan mendapatkan maklumat lanjut berhubungan dengan program biasiswa itu, mereka boleh melayari laman sesawang http:/brunei.usembassy.gov/fulbrightprogram.html.

Menurut Kedutaan AS lagi, tarikh tutup untuk menghantar borang permohonan pusingan awal bagi program berkenaan adalah pada 30 Mei nanti.