Permohonan Biasiswa Jepun 2016 masih dibuka

Permohonan Biasiswa Jepun 2016 masih dibuka

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 Jun – Kedutaan Jepun di Negara Brunei Darussalam memaklumkan bahawa permohonan bagi Program Biasiswa Kerajaan Jepun (MEXT) bagi tahun 2016 kini sedang dibukakan bagi para pelajar Brunei yang berhasrat untuk melanjutkan pengajian di Jepun.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh kedutaan berkenaan, di sini, hari ini, terdapat empat jenis biasiswa disediakan iaitu Pengajian Penyelidikan, Pengajian Mahasiswa, Pengajian Kolej Latihan Khusus, dan Pengajian Kolej Teknologi.

Kedutaan Jepun dalam kenyataannya menekankan bahawa, ini adalah peluang berharga bagi rakyat Brunei untuk belajar di Jepun dan meluaskan pengalaman mereka dengan mengenali budaya Jepun dan meningkatkan prospek pekerjaan masa depan.

Dalam tahun-tahun kebelakangan ini, ramai rakyat Brunei telah berjaya mengikuti program-program biasiswa yang ditawarkan oleh kerajaan Jepun, di mana mereka bukan sahaja meningkatkan kelayakan akademik, tetapi juga mempelajari mengenai masyarakat, budaya dan Bahasa Jepun, dan menjalin hubungan persahabatan sepanjang hayat.

Sehubungan itu, para pelajar yang berminat adalah digalakkan untuk mengambil peluang ini untuk tinggal dan belajar di Jepun. Para pemohon mestilah rakyat Brunei dan mempunyai rekod akademik yang cemerlang, manakala itu tarikh akhir permohonan pada 26 Jun 2015.

Untuk maklumat lanjut mengenai syarat-syarat permohonan dan bidang pengajian boleh melayari laman sesawang Kedutaan Jepun di alamat http://www.bn.emb-japan.go.jp/education/mext2016.

ARTIKEL YANG SAMA