Permohonan Biasiswa K’jaan dibuka

Permohonan Biasiswa K’jaan dibuka

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 Nov – Kementerian Pendidikan telah memaklumkan bahawa senarai bidang-bidang pengajian yang ditawarkan bagi permohonan Biasiswa Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke luar negeri bagi sesi akademik 2016/2017 telah pun dikeluarkan.

Menurut kenyataan kementerian berkenaan, senarai berkenaan juga boleh didapati melalui laman sesawang Kementerian Pendidikan di http://www.moe.gov.bn mulai esok (5 November 2015).

Senarai bidang-bidang yang ditawarkan itu adalah bagi peringkat Ijazah Lanjutan/Ikhtisas/Ijazah Pertama.

Permohonan bagi kursus di peringkat ijazah pertama hanya akan dibukakan dalam talian (online) dengan melayari laman sesawang http://www.hecas.edu.bn manakala tarikh permohonan dibuka akan dimaklumkan kemudian.

Bagi kursus di peringkat Ijazah Lanjutan dan Ikhtisas, permohonan akan dibuat melalui borang permohonan yang boleh didapati di Kaunter B3, Bahagian Biasiswa, Kementerian Pendidikan. Walau bagaimanapun, borang permohonan yang lengkap diisi hanya akan diterima mulai 6 Jun 2016 dan tarikh akhir menerima borang permohonan adalah pada 27 Jun 2016.

ARTIKEL YANG SAMA