Permohonan ikat jamin 2 warga asing ditolak

Permohonan ikat jamin 2 warga asing ditolak

Oleh Rafidah Jumat

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 Ogos – Mahkamah Tinggi menolak permohonan ikat jamin pasangan dari Filipina dan Cameroon yang mengaku tidak bersalah atas tuduhan menyeludup dua wanita Filipina ke negara ini pada September 2012 dan Februari 2014.

Clydeelyn H. Cazal berusia 32 tahun dari Filipina dan Francis Viban Bayong, 29 dari Cameroon didakwa di bawah Perintah Pemerdagangan dan Penyeludupan Manusia 2004 dan Akta Perlindungan Wanita dan Gadis, Penggal 120.

Pasangan itu mempunyai seorang anak perempuan berusia empat tahun, dan kini di bawah jagaan Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM).

Hakim Dato Paduka Haji Hairol Arni bin Haji Abdul Majid menolak permohonan pasangan itu selepas mendengar bantahan Timbalan Pendakwa Raya Karen Tan dan Siti Nurjauinah binti Haji Kula yang mengatakan kedua-dua tertuduh tidak mempunyai kepentingan di Brunei Darussalam.

Tambahan lagi, pasangan itu tidak mempunyai pendapatan meskipun berada di negara ini sejak sekian lama.

pg06_150706_mahkamah logo

“Pertemuan kamu dengan anak kamu boleh diatur melalui peruntukan tertentu,” kata Hakim.

Kedua-dua tertuduh berdepan dakwaan terlibat dalam penyeludupan dua wanita, masing-masing berusia 33 dan 36 tahun ke negara ini; mengupah kedua-dua wanita itu untuk tujuan pelacuran dan menggunakan beberapa kediaman sebagai rumah pelacuran.

Salah seorang daripada tertuduh turut berdepan dengan kesalahan di bawah Akta Lalu Lintas kerana didapati memandu tanpa lesen yang mana kesalahan ini membawa kepada hukuman denda $2,000 dan juga digantung daripada memandu.

Hukuman bagi setiap pertuduhan penyeludupan manusia adalah denda $1,000,000, maksimum 30 tahun penjara dan sebatan manakala pertuduhan bagi pelacuran memperuntukkan hukuman lima tahun penjara dan denda $20,000.

Sementara bagi pertuduhan menyediakan kediaman untuk aktiviti pelacuran membawa hukuman penjara selama setahun, denda $5,000 dan bagi kesalahan kedua atau seterusnya ialah lima tahun penjara dan denda $20,000.

Timbalan Pendakwa Raya telah meminta Hakim untuk mempercepatkan proses perbicaraan bagi kedua-dua mangsa penyeludupan itu, yang kini di bawah jagaan Kedutaan Filipina dan JAPEM. Kedua-dua tertuduh diperintahkan untuk ditahan reman sehingga sebutan seterusnya pada 20 Ogos 2015.