Permohonan ITQSHHB dibuka

Permohonan ITQSHHB dibuka

Oleh Imelda Groves HA

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 Ogos – Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah (ITQSHHB) membukakan tawaran pengambilan pelajar-pelajar baru Peringkat Menengah institut berkenaan bagi sesi 1437H/2016M bermula pada 2 Julai hingga 3 September 2015.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Hal Ehwal Ugama di sini, permohonan adalah terbuka kepada rakyat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam atau penduduk tetap Negara Brunei Darussalam.

Namun bagi pemohon bukan rakyat KDYMM (ibu/bapa yang bertugas di Negara Brunei Darussalam) boleh juga memohon dengan menghadapkan surat permohonan khas kepada Lembaga ITQSHHB melalui pengetua institut.

Pemohon hendaklah berumur tidak melebihi 14 tahun pada 1 Januari 2016 atau berada dalam Tahun 6 Pengajian pada tahun 2015 serta lulus Peperiksaan Penilaian Sekolah Rendah (PSR) atau setaraf dengannya.

Sementara itu bagi syarat-syarat umum permohonan pula ialah lulus temuduga, berkemampuan membaca Al-Quran dengan baik dan lancar semasa temuduga, mampu menghafaz ayat-ayat Al-Quran tidak kurang 10 baris dalam tempoh masa 45 minit semasa temuduga dan membaca dan menulis jawi dengan baik dan lancar semasa temuduga.

Selain itu pemohon juga dikehendaki mempunyai pengesahan rekod kelakuan baik dari pihak sekolah, berkesanggupan tinggal di asrama sepanjang tempoh pengajian dan mematuhi peraturan-peraturan institut. Namun kejayaan pemohon tertakluk kepada keputusan Lembaga Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah.

Borang Tawaran bolehlah diperolehi di Pejabat Pentadbiran, Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Simpang 175, Kampong Tumasek, Jalan Raja Isteri Pengiran Anak Saleha, Bandar Seri Begawan, BA2112, Negara Brunei Darussalam. Tarikh tutup permohonan adalah pada 3 September 2015.

ARTIKEL YANG SAMA