Permohonan kerajaan batal saman 5 sekeluarga penumpang MH370, didengar 4 Mac

Permohonan kerajaan batal saman 5 sekeluarga penumpang MH370, didengar 4 Mac

KUALA LUMPUR, 28 Jan – Mahkamah Tinggi hari ini menetapkan 4 Mac ini untuk mendengar permohonan kerajaan Malaysia dan tiga pihak lagi bagi membatalkan saman difailkan lima sekeluarga yang menuntut ganti rugi berhubung kematian tiga anggota keluarga mereka yang merupakan penumpang pesawat MH370 yang hilang sejak 8 Mac 2014.

Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Mohd Zaki Abdul Wahab menetapkan tarikh itu di dalam kamarnya hari ini dengan dihadiri Peguam Persekutuan Shaiful Nizam Shahrin mewakili kerajaan Malaysia dan peguam Sangeet Kaur Deo mewakili dua anak pasangan suami isteri yang terkorban dalam penerbangan itu.

Kerajaan, Malaysia Airlines Berhad (MAB), Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam Malaysia (DCA) dan Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) selaku defendan memfailkan permohonan untuk membatalkan saman pada 23 Dis 2015 atas alasan tuntutan plaintif bersifat remeh, menyusahkan dan merupakan penyalahgunaan proses mahkamah.

Pada 28 Ogos 2015, lima sekeluarga itu selaku plaintif memfailkan saman terhadap kelima-lima defendan termasuk Malaysia Airlines System Berhad (MAS) bagi menuntut ganti rugi atas kehilangan Tan Ah Meng, 46, dan isterinya Chuang Hsiu Ling@Cindy Chuang, 45, masing-masing merupakan pengarah syarikat kejuruteraan dan pembinaan serta anak sulung pasangan itu, Tan Wei Chew, 19. Saman itu difailkan dua anak pasangan terbabit iaitu Tan Wei Hong, 16, dan Tan Wei Jie, 14, ibu bapa kepada Ah Meng, Tan Hun Khong, 85, dan Lai Chew Lai, 83, serta ibu Hsiu Ling, Chuang Hung Chien, 76, yang merupakan warga Taiwan.

Dalam pernyataan tuntutan itu, kesemua plaintif mendakwa MAS memungkiri kontrak apabila gagal memastikan pesawat berkenaan berada dalam keadaan baik dan sempurna hingga menyebabkan penumpang dan pesawat MH370 gagal dikesan.

Mereka mendakwa akibat kecuaian defendan, kedua-dua anak pasangan itu menjadi yatim piatu secara tiba-tiba serta kehilangan abang sulung mereka dan kejadian itu menyebabkan mereka mengalami penderitaan dan kehilangan termasuk sokongan kewangan dan kasih sayang.

Plaintif juga mendakwa semasa kehilangan perhubungan, DCA gagal mengambil tindakan sewajarnya untuk berhubung semula atau melancarkan pencarian pesawat itu selain mendakwa kehilangan pesawat boleh dihindarkan jika panglima TUDM memantau radar dalam masa sebenar dan mengambil segala tindakan ketika kejadian itu berlaku. – Bernama