Permohonan melalui HECAS dibuka

Permohonan melalui HECAS dibuka

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 Ogos – Permohonan dalam talian HECAS (pusingan kedua) bagi sesi akademik 2015/2016 ke Universiti Brunei Darussalam dan bagi Biasiswa Luar Negara di bawah Kementerian Pendidikan mula dibuka kelmarin (12 Ogos).

Menurut kenyataan Kementerian Pendidikan, bagi pusingan ini, hanya program-program Ijazah Pertama ditawarkan oleh Universiti Brunei Darussalam dan Bahagian Biasiswa, Kementerian Pendidikan.

Tarikh tutup permohonan dalam talian HECAS 2015 (pusingan kedua) ditetapkan pada 4:30 petang tiga hari bekerja selepas pengumuman keputusan GCE ‘A’ Level bulan Jun 2015 oleh Jabatan Peperiksaan, Kementerian Pendidikan, yang mana tarikh tutup akan diumumkan kemudian dalam portal HECAS.

Pemohon-pemohon yang memohon dan tidak berjaya ketika HECAS 2015 (pusingan pertama) dan berkeinginan untuk memohon sekali lagi selepas pengemaskinian kelayakan bolehlah mendapatkan borang dalam talian HECAS 2015 (pusingan pertama) mereka dengan menghantar permintaan melalui pesanan ringkas ke talian 38855 dan taip “hecas resubmit <no kad pengenalan>”; bayaran $5 dikenakan bagi sekali penghantaran semula. Menurut kenyataan itu lagi, para pemohon yang ingin memohon bagi biasiswa luar negara perlu mendaftar sekurang-kurangnya satu program yang ditawarkan oleh institusi pendidikan tinggi tempatan. Pemohon-pemohon hanya dibenarkan untuk memilih maksimum dua program dari setiap institusi pendidikan tinggi tempatan (UBD, UNISSA, ITB dan PB) atau bagi biasiswa luar negara.

Jumlah maksimum program yang boleh dipilih pemohon adalah enam, dan bayaran yang dikenakan berdasarkan jumlah program ialah satu program $5, dua program $10, tiga program $15, empat hingga enam program $20.

Bagi keterangan lanjut, para pemohon bolehlah melayari portal Kementerian Pendidikan di alamat http://moe.gov.bn atau portal HECAS di http://www.hecas.edu.bn bagi maklumat mengenai program yang ditawarkan dan kemasukan yang ditetapkan oleh setiap institusi.

Pemohon juga boleh mengikuti langkah atau arahan cara mendaftar menggunakan telefon bimbit dan untuk mengisi borang dalam talian HECAS mengikut garis pandu yang disediakan dalam portal HECAS. Untuk pertanyaan atau isu teknikal pemohon boleh menghubungi Pentadbiran HECAS dengan menghantar e-mel ke alamat admission@hecas.edu.bn atau menerusi talian hotline 2381224/2380620.

Sementara itu, pemohon yang tidak mempunyai akses Internet bolehlah mengunjungi tempat-tempat HECAS di Maktab Duli Pengiran Muda Al-Muhtadee Billah bagi Daerah Brunei dan Muara; Sekolah Menengah Sultan Hassan bagi Daerah Temburong; Sekolah Menengah Sayyidina Othman di Daerah Tutong; dan Sekolah Menengah Sayyidina Ali di Daerah Belait.

ARTIKEL YANG SAMA