Permohonan, pendaftaran harta intelek 2015 susut

Permohonan, pendaftaran harta intelek 2015 susut

KUALA LUMPUR, 30 Dis – Jumlah permohonan dan pendaftaran harta intelek sehingga November 2015 mencatatkan sedikit penurunan kepada 29,814 berbanding 32,106 yang dicatatkan pada 2014 berikutan senario kelembapan ekonomi ketika ini, kata Timbalan Ketua Pengarah Harta Industri Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), Abdul Aziz Ismail.

Beliau berkata secara keseluruhan peratusan permohonan dan pendaftaran harta intelek bagi tahun 2015 dijangka menyusut kepada hampir empat peratus.

“Permohonan dan pendaftaran harta intelek adalah antara parameter yang diguna pakai dalam mengukur tahap ekonomi negara…penyusutan jumlah ini berkait rapat dengan kadar perkembangan ekonomi negara,” katanya.

Beliau ditemui media selepas menjadi panel Forum Media dan Harta Intelek (IP) yang dianjurkan oleh MyIPO hari ini.

Permohonan bagi harta intelek oleh pemilikan tempatan bagi tempoh sehingga November 2015 adalah 16,221 permohonan berbanding 17,693 permohonan dicatatkan tahun lepas.

Permohonan asing turut mencatatkan penurunan kepada 25,345 permohonan berbanding 26,548 permohonan pada 2014.

Sementara itu, pendaftaran harta intelek bagi pemilikan tempatan turut menyusut kepada 10,355 berbanding 11,405, manakala pendaftaran asing turun kepada 19,459 pendaftaran berbanding 20,701 pendaftaran pada 2014. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA