Permohonan pengambilan rekrut polis dibuka

Permohonan pengambilan rekrut polis dibuka

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Dis – Pasukan Polis Diraja Brunei memaklumkan bahawa permohonan untuk pengambilan rekrut lelaki dan perempuan bagi tahun 2016 akan dibukakan bermula 19 hingga 29 Disember 2015 dengan tarikh akhir mengembalikan borang pada 30 Disember 2015.

Pendaftaran akan diadakan di Dewan Serba guna Pusat Latihan Polis Gadong, dari pukul 9:30 pagi hingga 11:30 pagi dan 2 petang hingga 3:30 petang setiap Isnin hingga Khamis dan Sabtu.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan, para pemohon dikehendaki membawa risalah perseorangan berserta sijil kelulusan pelajaran yang asal.

Pasukan Polis Diraja Brunei, dalam kenyataannya turut menggariskan syarat-syarat dan kelayakan kemasukan perkhidmatan yang termasuk, pemohon mestilah rakyat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam iaitu mempunyai kad pintar berwarna kuning.

Taraf kelamin pemohon lelaki mestilah bujang atau calon-calon cemerlang yang sudah berkahwin mungkin dibenarkan oleh Pesuruhjaya Polis kepada siapa Komandan Pusat Latihan Polis patut merujuk permohonan-permohonan itu untuk mendapat keputusan, manakala itu, bagi pemohon wanita, mestilah bujang.

Mereka mestilah sihat tubuh badan dan memenuhi kelayakan ketinggian 162.56 cm (5 kaki 4 inci) bagi lelaki dan 157.48 cm (5 kaki 2 inci) bagi perempuan, berat badan 50 kg ke atas bagi lelaki dan perempuan serta dalam lingkungan umur di antara 18 hingga 28 tahun bagi lelaki dan 18 hingga 25 tahun bagi perempuan.

Bagi kelayakan akademik pula, memperoleh dua Kepujian (kredit) mata pelajaran Sijil Am Peringkat Biasa (‘O’ Level) atau BDTVEC Pre-National Diploma atau mana-mana kelulusan yang sebanding dan diiktiraf oleh kerajaan Negara Brunei Darussalam termasuk Sijil BTEC Edexcel Level 2 atau BDTVEC Skill Certificate 2 (SC2) serta Sijil BTEC Edexcel Level 2 Diploma atau BDTVEC Skill Certificate (SC3).

Kelayakan akademik yang lebih tinggi adalah menjadi keutamaan, manakala itu, bagi Sijil BTEC Edexcel Level 2 atau BDTVEC Skill Certificate 2 (SC2) dan Sijil BTEC Edexcel Level 2 Diploma atau BDTVEC Skill Certificate (SC3), pemohon hendaklah meminta surat pengiktirafan daripada Majlis Kebangsaan Pengiktirafan Kelulusan.

Sementara itu, bagi syarat-syarat untuk proses kemasukan, para calon yang layak mestilah lulus tiga peringkat ujian dengan peringkat pertama merangkumi pemeriksaan fizikal, ujian kecergasan dan pemeriksaan kesihatan, peringkat kedua termasuk temu duga dan tapisan keselamatan, manakala itu, peringkat ketiga ialah penilaian akhir.

ARTIKEL YANG SAMA