Permohonan Perkumpulan YSEALI di AS dibuka

Permohonan Perkumpulan YSEALI di AS dibuka

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 Mei – Kedutaan Amerika Syarikat di Brunei Darussalam memaklumkan bahawa, mereka kini membukakan permohonan kepada mereka yang berminat untuk menyertai program Perkumpulan Inisiatif Pemimpin Muda Asia Tenggara (YSEALI) Musim Luruh 2015 di AS.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh kedutaan berkenaan, terdapat dua jenis perkumpulan, iaitu Perkumpulan Akademik YSEALI bagi para pelajar berusia 18 hingga 25 tahun, dan Perkumpulan Profesional YSEALI bagi profesional berusia 25 hingga 35 tahun.

Dilancarkan pada tahun 2013, YSEALI adalah program kemegahan Presiden AS, Barack Obama untuk mengukuhkan pembangunan kepimpinan dan rangkaian di ASEAN.

Komuniti YSEALI merangkumi pemimpin-pemimpin muda berusia 18 hingga 35 tahun dari Brunei, Kemboja, Indonesia, Malaysia, Burma, Filipina, Laos, Singapura, Thailand dan Vietnam.

Menurut kenyataan itu lagi, matlamat perkumpulan dan semua program-program YSEALI adalah untuk membangunkan keupayaan kepimpinan belia di rantau ini, mengukuhkan hubungan di antara AS dan negara-negara Asia Tenggara, dan memelihara komuniti ASEAN.

Ia menumpukan ke atas topik-topik yang dikenal pasti oleh belia di rantau ini, seperti alam sekitar dan pengurusan sumber asli, penglibatan awam, perusahaan dan perkembangan ekonomi.

Duta besar AS ke Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Craig Allen, menggambarkan Program Rakan YSEALI sebagai “peluang baik bagi AS dan negara-negara Asia Tenggara, termasuk Brunei Darussalam, untuk bekerjasama dalam membangunkan kemahiran kepimpinan dan kepakaran profesional generasi muda seluruh rantau ASEAN.

“Kami percaya bahawa hubungan antara manusia yang dipromosikan oleh program ini akan meningkatkan kepakaran praktikal para peserta, membangunkan kemahiran kepimpinan mereka dan mengembangkan hubungan profesional mereka,” ujarnya.

Ini, tambahnya, akan membantu kerjaya mereka dan sumbangan mereka kepada perkembangan masa depan Brunei Darussalam.

“Saya menggalakkan pemimpin muda untuk memohon bagi Perkumpulan itu dan menyertai keahlian YSEALI, dan untuk membuat perubahan dalam komuniti mereka,” tambahnya.

Tema perkumpulan tahun ini akan melibatkan isu-isu alam sekitar, perusahaan dan perkembangan ekonomi.

Sehubungan dengan itu, para pelajar yang berminat dengan Perkumpulan Akademik boleh menghantar e-mel ke alamat Ahmadi2@state.gov, dan tarikh akhir bagi permohonan ini adalah pada 22 Mei 2015.

Manakala itu, bagi profesional muda yang berminat dengan Perkumpulan Profesional bolehlah melayari laman sesawang http://exchanges.state.gov/non-us/program/yseali-profesional-fellow-program bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai program itu dan permohonan, yang mana tarikh tutup bagi program ini adalah pada 1 Jun 2015.

Bagi mendaftar sebagai ahli YSEALI dan menerima maklumat mengenai peluang ini dan masa depan, boleh melayari http://youngsoutheastasianleaders.state.gov/, dan maklumat lebih lanjut boleh didapati di http://brunei.usembassy.gov/yseali.html.