Permohonan Program YSEALI dibuka

Permohonan Program YSEALI dibuka

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 April – Kedutaan Besar Amerika Syarikat (AS) di sini, kini sedang membukakan permohonan kepada para belia Brunei untuk menyertai Program Felo Profesional YSEALI Musim Luruh 2016.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan semalam, Program Felo Profesional YSEALI merupakan program pertukaran pembangunan profesional bagi pemimpin-pemimpin komuniti terbaik dan cerdik dari seluruh rantau ASEAN. Para felo akan berpeluang menyertai program selama sebulan di pejabat kerajaan setempat, perniagaan, organisasi bukan berasaskan keuntungan atau pejabat perundangan yang berpangkalan di AS.

Mereka akan menumpukan ke atas salah satu daripada tiga tema iaitu Pemerkasaan Ekonomi; Kemapanan Alam Sekitar; dan Proses Perundangan dan Penglibatan /Masyarakat.

Dilancarkan pada 2013, Inisiatif Pemimpin Muda Asia Tenggara (YSEALI) merupakan program kemegahan Presiden Barack Obama untuk mengukuhkan pembangunan kepimpinan dan rangkaian di ASEAN.

Untuk mendaftar sebagai ahli YSEALI dan menerima maklumat mengenai peluang-peluang akan datang, bolehlah melayari laman sesawang http://youngsoutheastasianleaders.state.gov/.

Mengulas mengenai program berkenaan, Duta Besar AS ke Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Craig Allen dipetik sebagai berkata; “Ia merupakan satu peluang baik bagi AS dan Brunei untuk bekerjasama membangunkan kapasiti orang muda dalam bidang-bidang kemahiran kepimpinan dan pembangunan profesional.”

Tambahnya lagi, program ini memberi manfaat kepada para peserta dalam pertumbuhan kerjaya dan sumbangan mereka kepada pembangunan masa depan Brunei Darussalam serta ASEAN.

Sehubungan itu, mereka yang berminat untuk memohon bagi program berkenaan boleh melayari http://exchanges.state.gov/non-us/program/yseali-professional-fellows-program dan memulakan proses permohonan. Tarikh tutup bagi tema Proses Perundangan dan Penglibatan Pemerintahan/ Masyarakat adalah pada 15 April 2016, sementara itu, bagi Pemerkasaan Ekonomi dan Kemapanan Alam Sekitar pada 30 April 2016.

ARTIKEL YANG SAMA