Permohonan sertai bengkel YSEALI dibuka

Permohonan sertai bengkel YSEALI dibuka

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 Mei – Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Bandar Seri Begawan sedang menerima permohonan daripada warga Brunei di antara umur 18 hingga 35 tahun, yang berminat untuk mengambil bahagian dalam Bengkel Belia Bersepakat Menentang Dadah, di bawah Inisiatif Generasi Pemimpin Muda Asia Tenggara (YSEALI) yang diadakan di Yangon, Myanmar.

Persidangan tersebut yang akan diadakan mulai 3 hingga 7 Ogos depan merupakan bengkel serantau selama lima hari untuk 30 pemimpin belia, berumur antara 18-35   tahun, dari negara Asia Tenggara, demikian menurut Kedutaan AS dalam satu kenyataan di sini.

Kenyataan itu berkata, menerusi ceramah interaktif, bengkel aktif, aktiviti berkomunikasi dan pendedahan, wakil YSEALI yang terpilih akan meninjau tiga isu utama yang berkaitan dengan pengurangan permintaan dadah; mengkaji kesan penggunaan dadah ke atas individu, komuniti dan negara mereka; memahami konteks di mana penghasilan dadah berlaku; dan mempelajari mengenai usaha holistik untuk mengurangkan penggunaan dadah, termasuk kesedaran awam dan kempen sokongan.

Selain itu, bengkel tersebut juga menawarkan peluang untuk pemimpin muda mengembangkan idea mengenai cara-cara mengurangkan permintaan untuk dadah dan bekerjasama dengan rakan sebaya dari negara jiran untuk melaksanakan bersama projek berkenaan. Permohonan dibuka sehingga 3 Jun 2016. Untuk maklumat lanjut, layari http://goo.gl/AyOCDD

Inisiatif Pemimpin Muda Asia Tenggara, atau YSEALI yang dilancarkan pada 2013, adalah program khas Presiden AS Barack Obama untuk memperkukuh perkembangan kepimpinan dan perhubungan di ASEAN.

Untuk mendaftar sebagai anggota YSEALI dan menerima maklumat mengenai peluang masa depan, layari http://youngsoutheastasianleaders.state.gov/

ARTIKEL YANG SAMA