Permulaan ngeri buat Cech

Permulaan ngeri buat Cech

LONDON, 10 Ogos (AFP) – Petr Cech mengalami mimpi ngeri dalam penampilan sulung bersama Arsenal selepas dua kesilapannya menyebabkan Gunners tewas mengejut 0-2 kepada West Ham dalam aksi pembukaan Liga Perdana Inggeris, semalam.

Cech yang dibeli pada harga 10 juta pound (RM61 juta) daripada Chelsea pada mulanya dikatakan mampu memacu kecemerla­ngan Arsenal musim ini, namun kesilapan penjaga gol berusia 33 tahun itu membuatkan West Ham berjaya mendahului permainan menerusi Cheikhou Kouyate pada penghujung babak pertama di Stadium Emirates.

Kesilapan rakan sepasukan baharunya, Alex Oxlade-Chamberlain sekali lagi menghukum pasukan itu apabila penyerang kelahiran Argentina, Mauro Zarate berjaya menjaringkan gol kedua untuk memastikan kemenangan West Ham dalam aksi pertama mereka dalam saingan liga musim ini.

Sikap optimis menyelubungi pasukan itu selepas kejayaan merangkul Piala FA dengan menyingkirkan Aston Villa musim lalu, selain menjulang Perisai Komuniti dengan menumpaskan Chelsea 1-0, dua minggu lalu.

Pengendali Gunners, Arsene Wenger pasti kecewa dengan persembahan pasukannya kerana sebelum ini mereka dikatakan mampu menamatkan kemarau 12 tahun kejuaraan liga.

Cech ketika beraksi semasa Arsenal menentang West Ham di Stadium Emirates semalam. – AFP
Cech ketika beraksi semasa Arsenal menentang West Ham di Stadium Emirates semalam. – AFP

Sebaliknya apa yang berlaku, Arsenal menjadi mangsa The Hammers yang berjaya menamatkan kemarau 10 kekalahan berturut-turut kepada Arsenal sejak April 2007.

Kemenangan itu merupakan kenangan indah buat pengendali baharu West Ham, Slaven Bilic yang menggantikan Sam Allardyce pada penghujung musim lalu, sekali gus menutup segala kritikan yang dilemparkan selepas pasukannya tewas dalam saingan Liga Europa minggu lalu.

Ketika Bilic meraikan kejayaan bersama penyokong kelab, Wenger berkemungkinan akan melakukan pertimbangan segera untuk mendapatkan khidmat penyerang Real Madrid, Karim Benzema.

Penyerang Perancis, Olivier Giroud nyata gagal membalas kepercayaan Wenger selepas diberi peluang untuk berada dalam kesebelasan utama mengatasi Theo Walcott selepas gagal menjaringkan sebarang gol atau memberikan cabaran.