Permusuhan rentas sempadan

Permusuhan rentas sempadan

LONDON, 10 Mac (AFP) – Perseteruan selama 122 tahun antara Liverpool dan Manchester United kini memasuki ‘wilayah kurang ternama’ apabila mereka bertemu di Anfield untuk aksi pertama 16 pasukan terakhir Liga Europa, awal pagi esok.

Selepas 194 pertemuan dalam pertandingan domestik sejak 1894, pertemuan jiran barat laut England itu buat kali pertama akan melarat ke peringkat Eropah.

Liverpool dan United lebih sinonim dengan saingan Liga Juara-Juara – dengan masing-masing menjadi juara Eropah sebanyak lima dan tiga kali – tetapi kerana kedudukan empat terbaik Liga Perdana Inggeris belum pasti, mereka harus memenangi gelaran Liga Europa untuk meraih tiket automatik ke Liga Juara-Juara musim depan.

Pengurus United Louis van Gaal mengakui status utama terhadap kedua-dua pasukan semakin menurun, dengan memberitahu pemberita pada sidang media semalam: “Anda masih tinggal pada masa lalu.”

“Banyak mana gelaran diperoleh Liverpool dan berapa banyak diperoleh United?” tanya Van Gaal. “Itu semua masa lalu. Anda perlu terima hakikat bahawa sejak akhir-akhir ini ia tidak sama lagi.

Louis van Gaal menyaksikan Daley Blind dan Jesse Lingard menjalani latihan di Pusat latihan Manchester United, kelmarin. – Reuters
Louis van Gaal menyaksikan Daley Blind dan Jesse Lingard menjalani latihan di Pusat latihan Manchester United, kelmarin. – Reuters

“Ia berlaku dalam bola sepak. Itu perkara normal. Tidak normal sekiranya satu-satu pasukan berkuasa untuk tempoh 20 tahun berturut-turut sebagai juara.”

Menghuni kedudukan keenam EPL, United masih belum berputus harapan untuk meraih tangga keempat, tetapi Van Gaal mungkin sedar penyingkiran di Liverpool mampu memusnahkan musim mereka.

Pengendali dari Belanda itu menang empat pertembungan dengan Liverpool sebelum ini, termasuk di laman sendiri dan lawan pada musim ini, dan pasukan itu mula mempamerkan peningkatan sejak akhir-akhir ini.

Tetapi tewas 1-0 kepada West Brom Ahad lalu memisahkan mereka tiga mata dari slot Liga Juara-Juara dengan pasukan tangga keempat Manchester City ada baki satu perlawanan lagi.

Malah, United turut bertindak memanggil pertahanan muda Regan Poole daripada skuad Bawah-19 Wales menjelang aksi timbal balik pertama Liga Europa itu.

Poole, yang tiba dari Newport County musim panas lalu, membuat penampilan pertama untuk Red Devils ketika menewaskan Midtjylland 5-1 dalam pertandingan sama bulan lalu.