Perniagaan ASEAN perlukan strategi khusus

Perniagaan ASEAN perlukan strategi khusus

KUALA LUMPUR, 27 Mei (Bernama) – Kalangan perniagaan ASEAN, termasuk Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) perlu menimbang serta meneroka satu strategi khusus ASEAN berikutan masa depan rantau itu yang cerah, kata Gabenor Bank Negara Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz, hari ini.

Beliau mengingatkan, syarikat-syarikat di negara anggota blok itu sewajarnya melihat ASEAN sebagai pasaran yang kian bersepadu dan perspektif serantau atau antarabangsa sedemikian boleh menjadi faktor pengubah bagi PKS mencapai pertumbuhan mampan, kewujudan lebih banyak pekerjaan serta peningkatan kapasiti inovasi.

“Batasan seterusnya bagi PKS adalah untuk muncul sebagai penggiat serantau yang tidak terikat dengan asas pengguna domestik,” katanya ketika berucap pada majlis makan tengah hari bersempena Persidangan dan Pameran PKS ASEAN 2015, di sini, hari ini.

Menurut Zeti, PKS berpotensi untuk terlibat dalam rangkaian pengeluaran global dengan berteraskan kekuatan serta prospek ASEAN, inisiatif tumpuan dasar kepelbagaian PKS serta usaha berterusan penyepaduan kewangan serantau.

“Ia akan membolehkan transisi PKS untuk memanfaatkan sepenuhnya penyepaduan kewangan dan ekonomi serantau yang berterusan, sekali gus menyumbang ke arah pertumbuhan mampan dan seimbang bagi rantau ini,” katanya.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin (2 kiri) melawat salah sebuah gerai pameran pada perasmian Persidangan dan Pameran PKS ASEAN 2015 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hari ini. Turut hadir, Setiausaha Tetap Kementerian Perindustrian dan Sumber-Sumber Utama, Brunei Darussalam, Hajah Normah Suria Hayati binti Pehin Jawatan Dalam Seri Maharaja Dato Seri Utama (Dr.) Haji Awang Mohd. Jamil Al-Sufri (kiri). – Bernama
Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin (2 kiri) melawat salah sebuah gerai pameran pada perasmian Persidangan dan Pameran PKS ASEAN 2015 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hari ini. Turut hadir, Setiausaha Tetap Kementerian Perindustrian dan Sumber-Sumber Utama, Brunei Darussalam, Hajah Normah Suria Hayati binti Pehin Jawatan Dalam Seri Maharaja Dato Seri Utama (Dr.) Haji Awang Mohd. Jamil Al-Sufri (kiri). – Bernama

Beliau menyifatkan aspek penyeragaman prosedur perdagangan, pemansuhan sekatan tarif dan bukan tarif serta penambahbaikan kerangka peraturan di sekitar rantau ini turut memberi kelebihan kepada PKS.

Kewujudan ASEAN juga membolehkan PKS rantau ini mendapat akses bagi pasaran lebih besar serta menyeluruh.

Selain pengukuhan rangkaian bekalan merentasi sempadan di rantau ini, kata Zeti, perdagangan intra ASEAN serta aktiviti pelaburan turut mencatat peningkatan yang signifikan sejak 15 tahun lalu.

“Perdagangan intra-serantau kini mewakili hampir satu perempat daripada jumlah perdagangan serantau manakala aktiviti pelaburannya pula meningkat empat kali ganda kepada 17 peratus daripada jumlah pelaburan sejak 2000,” katanya.

Menurutnya, bersandarkan asas pengguna yang besar di ASEAN, PKS boleh menjadikan blok serantau itu sebagai platform untuk mengukuhkan daya saing sebelum menyertai pasaran global.

Menjelang 2020, katanya, ASEAN diunjur menyumbang lebih AS$2 trilion dari segi penggunaan tambahan yang diperkukuhkan peningkatan pendapatan di rantau berkenaan dengan pendapatan per kapita meningkat hampir tiga kali ganda pada dekad lalu.

Zeti berkata, PKS di rantau ini turut akan meraih manfaat daripada hubungan ekonomi strategik ASEAN dengan Asia serta bahagian lain dunia, termasuk rantau ekonomi lebih maju serta yang membangun.

Gabenor bank pusat itu turut merujuk beberapa negara yang memeterai perjanjian dua hala, termasuk perjanjian perdagangan dengan ASEAN bagi meningkatkan kerjasama ekonomi.

“Perjanjian pelbagai serta dua hala ini berpotensi untuk mewujudkan banyak peluang perniagaan bagi PKS ASEAN,” katanya.

Bersandarkan unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar tahunan sebanyak 5.4 peratus bagi tempoh enam tahun akan datang, rantau ASEAN juga dijangka mencecah saiz ekonomi kira-kira AS$3.7 trilion menjelang 2020 iaitu peningkatan empat kali berbanding saiznya sedekad lalu.