Perniagaan berjalan seperti biasa

Perniagaan berjalan seperti biasa

Oleh Salawati Haji Yahya

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 April – Kemelut ekonomi yang melanda dunia disebabkan kejatuhan harga minyak sedikit sebanyak memberikan impak kepada sektor perniagaan, tetapi para peniaga berusaha untuk maju dengan pelbagai strategi bagi mengukuhkan perniagaan mereka.

Pemilik JN SLUSH, Awang Mohd Jali bin Chuchu berkata, walaupun perniagaan sedikit terjejas disebabkan kemelut ekonomi yang dihadapi pada masa ini, perniagaan masih berjalan seperti biasa.

Beliau juga melahirkan perasaan kecewa kerana beberapa peruncit mengambil kesempatan dengan meletakkan harga barang yang tidak konsisten.

“Perkara ini menimbulkan kebimbangan kepada peniaga kecil-kecilan kerana ia boleh memberi impak kepada pendapatan kami,” tambahnya kepada Media Permata ketika ditemui pada Bazar Amal 3.0 ‘1 Baju 1 Senyuman’ di Dewan Muhibah, Jabatan Daerah Brunei dan Muara, di sini, hari ini.

Beliau seterusnya menjelaskan, harga barangan runcit akan naik pada hujung bulan dan ini menyebabkan mereka sebagai peniaga terpaksa menyelaraskan harga jualan dengan apa yang mereka tawarkan.

Sehubungan itu, beliau menyeru pihak berkenaan untuk memantau harga barangan runcit kerana ia memberi kesan kepada peniaga kecil dan pembeli yang lain.

Awang Mohd Jali semasa Bazar Amal 3.0 di Dewan Muhibah, Jabatan Daerah Brunei dan Muara, semalam.
Awang Mohd Jali semasa Bazar Amal 3.0 di Dewan Muhibah, Jabatan Daerah Brunei dan Muara, semalam.
Pemilik Mila Collection bersama suami beliau berkata, perniagaan masih lagi berjalan seperti biasa.
Pemilik Mila Collection bersama suami beliau berkata, perniagaan masih lagi berjalan seperti biasa.

Sementara itu, pemilik Mila Collection pula berkata, walaupun ekonomi masa ini terjejas tetapi orang ramai masih lagi memberi sokongan kepada peniaga kecil-kecilan di negara ini.

Walaupun harga minyak jatuh, tetapi ia tidak menjejaskan kos penghantaran barangan dari negara pembekal di luar negara kerana harga kos penghantaran masih dikekalkan seperti biasa.

Beliau seterusnya menambah, setelah tiga tahun melibatkan diri dalam dunia perniagaan ini, sambutan orang ramai masih lagi seperti tahun-tahun sebelumnya.

Pengusaha muda, Dayang Nurnajihah Adi dari Annaf-fodworldbn yang turut berniaga di bazar itu turut melahirkan perasaan yang sama, dengan berkata, keadaan ekonomi yang terjejas ketika ini tidak memberi impak yang ketara.

Menurut beliau, sambutan orang ramai terhadap bazar dan jual-jualan masih lagi seperti biasa dan apa yang perlu ialah mengekalkan rasa, bungkusan, kualiti dan harga yang ditawarkan murah.

Dayang Nurnajihah Adi berkata sambutan orang ramai terhadap bazar dan jual-jualan masih lagi seperti biasa.
Dayang Nurnajihah Adi berkata sambutan orang ramai terhadap bazar dan jual-jualan masih lagi seperti biasa.
Pemilik Zulna’s Collection, Dayang Hana ketika ditemui di gerainya pada bazar amal berkenaan.
Pemilik Zulna’s Collection, Dayang Hana ketika ditemui di gerainya pada bazar amal berkenaan.

 

Sementara itu, pemilik Zulna’s Collection Dayang Hana binti Haji Talip yang menjual pakaian kanak-kanak pula berkata, keadaan ekonomi sekarang memberi impak kepada import barangan dari negara pembekal kerana kos penghantaran dinaikkan berbanding sebelum ini.

Walaupun kos penghantaran yang berbeza, harga yang diberikan kepada pelanggan masih lagi dikekalkan seperti biasa.

Penglibatan beliau dalam bazar seumpama ini merupakan sesuatu yang baru setelah empat tahun melibatkan diri dalam dunia perniagaan kerana sebelum ini beliau hanya berurusan secara online.

Melihat kepada penglibatan golongan belia dalam bidang perniagaan secara online tumbuh bagaikan cendawan selepas hujan, apa yang penting untuk terus kekal dalam dunia ini ialah dengan mencari produk dan bahan yang berbeza daripada peniaga yang lain.

ARTIKEL YANG SAMA