Perniagaan Dunia Islam 2015 tarik 5,000 delegasi

Perniagaan Dunia Islam 2015 tarik 5,000 delegasi

KUALA LUMPUR, 23 Okt (Bernama) – Perniagaan Dunia Islam 2015 Ke-6, pameran dan persidangan perdagangan utama dunia Islam yang dijadual pada 27 hingga 30 Oktober di sini, dijangka menarik kira-kira 5,000 delegasi antarabangsa.

Pengarah Pusat Perniagaan Antarabangsa Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Muhammad Raja Raziff Datuk Dr Raja Mohamad berkata, setakat ini 3,000 delegasi telah mengesahkan kehadiran mereka dan akan mula tiba hujung minggu ini.

Menurutnya, delegasi itu daripada 15 negara, termasuk Arab Saudi, Kuwait, Bahrain, Jordan, Iran, Emiriyah Arab Bersatu serta negara Asia lain.

“Sekretariat kini berusaha untuk mencapai jumlah itu,” katanya pada sidang akhbar mengenai pesta dagangan bertema ‘Kemunculan Era Emas Perindustrian, di sini hari ini.

Acara itu merangkumi perbincangan meja bulat, Forum Ekonomi OIC-Asia 2015, Persidangan Pendidikan Tinggi OIC 2015 dan Persidangan Pelancongan Islam Dunia 2015.

Makan Malam Gala Anugerah Islam akan turut diadakan sebagai pengiktirafan pencapaian dan sumbangan oleh individu kepada pertumbuhan ekonomi Islam global, katanya.

Menurutnya, Pameran Perniagaan Dunia Islam Ke-6 akan meningkatkan perdagangan antara negara Islam di samping mengukuhkan perdagangan dengan negara bukan Islam dan penyertaan orang ramai adalah percuma.

Pesta dagangan itu setakat ini menjana lebih US$300 juta dalam pelaburan, katanya, dengan menambah yang acara tahun ini dijangka menarik US$50juta dalam pelaburan atau urus niaga melalui 500 sesi padanan perniagaan.

“Dengan pembeli dagangan dan pameran berkualiti daripada negara Islam dan bukan Islam, jumlah ini boleh dicapai kerana tahun lepas kami mencatat urus niaga bernilai US$40 juta, dengan delegasi daripada hanya 10 negara,” tambahnya.

Pesta dagangan itu dianjurkan dengan kerjasama Pusat Islam Pembangunan Perdagangan, anak syarikat OIC dan disokong kerajaan Malaysia.

ARTIKEL YANG SAMA