Perniagaan Jepun-Cuba dijangka meningkat

Perniagaan Jepun-Cuba dijangka meningkat

HAVANA, 1 Mei (AFP) – Kepentingan perniagaan Jepun di Cuba sepertinya bertambah hebat disebabkan hubungan Cuba-Amerika Syarikat (AS) yang semakin mesra, menurut menteri luar negeri Jepun dalam temu bual yang disiarkan semalam ketika beliau tiba bagi lawatan.

Kunjungan Menteri luar negeri, Fumio Kishida dijangka akan termasuk mesyuarat bersama rakan sejawatan Cuba, Bruno Rodriguez.

Kishida mengatakan ‘sambutan dan sokongan’ menjadi permulaan rundingan antara Washington dan Havana dalam memulihkan hubungan selepas berdekad bermusuhan.

Menurutnya hubungan mesra ini akan ‘secara positifnya mempengaruhi hubungan dengan Jepun.’

“Mempertimbangkan peningkatan hubungan antara Cuba dan Amerika Syarikat, bukan hanya kerajaan namun syarikat-syarikat Jepun juga akan meningkatkan kepentingan di Cuba,” katanya dalam satu temu bual bersama Granma, akhbar rasmi Parti Komunis.

Buat masa sekarang, ia adalah sukar bagi syarikat-syarikat Jepun untuk melakukan perniagaan dengan Cuba kerana ketika ini mereka berdepan prospek sekatan dari AS di bawah embargo perdagangan AS yang dikenakan pada tahun 1962, kata Ken Okaniwa, jurucakap menteri luar negeri.

Okinawa mengatakan perdagangan bilateral kini bernilai 35 juta dolar setahun, dua pertiga daripada jualan Jepun ke Cuba.

Cuba eksport tembakau, kopi dan ikan ke Jepun, dan kebanyakannya membeli jentera, tambahnya.