Perodua Bezza sasar jualan 7,600 unit sebulan

Perodua Bezza sasar jualan 7,600 unit sebulan

KUALA LUMPUR, 17 Julai – Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) menyasarkan untuk menjual 7,600 unit sedan pertamanya, Bezza, sebulan tahun ini.

Dalam satu kenyataan, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Dr Aminar Rashid Salleh berkata tempahan bagi Perodua Bezza kini dibuka dengan harga bermula dari RM37,300 bagi 1.0L standard G (transmisi manual) hingga RM50,800 bagi varian 1.3L Advanced (transmisi automatik).

“Kami menjangka Perodua Bezza akan menjadi jualan terbaik kami, disasarkan bagi pembeli kereta gantian, khususnya pasangan pengantin baru dan keluarga muda, yang memerlukan ruang but lebih besar seiring dengan peringkat kehidupan mereka.

“Pembangunan Bezza membabitkan RM300 juta dan mempunyai 95 peratus kandungan tempatan,” katanya.

Sedan kompak segmen “A” merupakan kenderaan Perodua pertama yang bahagian atasnya direka sepenuhnya oleh rakyat Malaysia, di kilang kenderaan cekap tenaga (EEV)nya, Perodua Global Manufacturing Sdn Bhd.

Aminar Rashid berkata sedan tersebut dihasilkan dengan mengambil kira kualiti, keselesaan, keluasan ruang, kebolehpercayaan, kemampuan serta reka bentuk dan antara model yang mempunyai ruang but terbesar dalam pasaran dengan 508 liter dalam kelasnya.

Model tersebut mempunyai enam warna pilihan iaitu ‘sugar brown’, biru laut, ‘lava red’, ‘ebony black’, ‘glittering silver’ dan ‘solid ivory white’. – Bernama