Perodua dijangka capai sasaran jualan tahun ini

Perodua dijangka capai sasaran jualan tahun ini

KOTA KINABALU, 6 Dis – Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) dijangka mencapai sasaran jualan sebanyak 208,000 unit pada tahun ini, kata Presiden Perodua Datuk Aminar Rashid Salleh.

Beliau yang juga Ketua Pegawai Eksekutif berkata, Perodua yakin prestasi yang agak baik dalam perkhidmatan selepas jualan dan pengeluaran pada tahun ini

“Jika semuanya berjalan dengan baik (menjelang akhir tahun), Perodua akan terus menjadi jenama kereta pilihan utama di Malaysia untuk 10 tahun berturut-turut,” katanya kepada pemberita pada majlis penyampaian hadiah Perodua Media Fun Race 2015 di sini hari ini.

Pada majlis itu juga, dua buah rumah kebajikan di Kota Kinabalu menerima sumbangan di bawah inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Perodua.

Aminar Rashid menyampaikan cek replika RM10,000, masing-masing kepada Rumah Kanak-kanak Kota Kinabalu dan Pertubuhan Rumah Kebajikan Anak Yatim Yayasan Al-Sakinah Papar.

Beliau berkata sumbangan itu sebagai cara syarikat mengucapkan terima kasih kepada rakyat Malaysia atas sokongan yang diberikan kepada Perodua selama ini.

“Kami berharap bantuan kewangan tersebut dapat membantu mengurangkan beban rumah kebajikan itu,” katanya.

Mengenai Perodua Media Fun Race, beliau berkata acara itu bagi menjalin hubungan yang erat dalam kalangan media di Sabah.

Pasukan UB dari Utusan Borneo diumumkan juara dan menerima hadiah wang tunai sebanyak RM2,000.  – Bernama