Perogol dihukum mati

DHAKA, 13 Feb – Empat pekerja pengangkutan telah dijatuhi hukuman mati oleh sebuah mahkamah di Bangladesh tengah selepas didapati bersalah merogol dan membunuh seorang pelajar undang-undang dalam sebuah bas yang sedang bergerak, lapor agensi berita China Xinhua.

Seorang pemangku hakim Tribunal Pencegahan Penindasan terhadap Kanak-Kanak dan Wanita di daerah Tangail, kira-kira 97 kilometer dari Dhaka, menjatuhi hukuman itu kelmarin.

Mahkamah itu turut menjatuhi hukuman penjara tujuh tahun dan denda 100,000 taka (kira-kira AS$1,204) ke atas penyelia syarikat bas berkenaan.

Orang ramai di luar bilik mahkamah yang penuh sesak dilaporkan bertepuk tangan selepas Hakim Abul Mansur Ahmed menjatuhi hukuman itu ke atas keempat-empat pekerja pengangkutan. – Bernama