Perogol kena 23 tahun, 16 sebatan

Perogol kena 23 tahun, 16 sebatan

Oleh Rafidah Jumat

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 Julai – Seorang lelaki tempatan hanya mampu berdiam diri setelah Mahkamah Perantaraan di sini, hari ini, menjatuhkan hukuman berat iaitu 23 tahun enam bulan penjara, dan 16 sebatan terhadapnya atas 15 pertuduhan merogol, melakukan hubungan seks, memiliki gambar lucah dan tidak senonoh, serta melibatkan mangsa dalam aktiviti seks.

Hakim Pengiran Masni binti Pengiran Haji Bahar memutuskan hukuman itu ke atas Norin bin Pungut @Yussof yang mengaku bersalah atas perbuatan yang dilakukannya terhadap dua adik-beradik yang merupakan anak yatim.

“Tertuduh berusia 31 tahun itu telah mengambil kesempatan atas tahap kematangan mangsa yang berusia 13 dan 15 tahun di mana dia juga mengambil kesempatan daripada mangsa yang masih berkabung atas kematian ibu mereka.

“Hukuman berat itu adalah amaran keras kepada masyarakat bahawa mahkamah tidak akan bertolak ansur dengan apa-apa perbuatan tidak bermoral,” tegas hakim yang percaya tertuduh akan terus melakukan kesalahannya jika perbuatannya itu tidak terbongkar.

Norin menghadapi pertuduhan memperkosa mangsa (Dayang X) berusia 13 tahun dalam dua kejadian berasingan; memiliki gambar lucah dan tidak senonoh Dayang X dan Dayang Y yang disimpan dalam pendrive; melakukan hubungan seks dengan Dayang Y berusia 15 tahun dan melibatkan Dayang Y dalam aktiviti seks.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu pada Mac hingga Mei 2016 di sebuah rumah di Daerah Brunei dan Muara.

Menurut fakta kes, tertuduh tinggal bersama mangsa di rumah ibu saudara dan datuk mereka selepas kematian ibu mereka di mana ibu saudara mangsa adalah teman wanita tertuduh.

Perbuatan tertuduh terbongkar apabila salah seorang rakan kelas Dayang X memberitahu guru mereka bahawa Dayang X ada membawa pisau lipat ke sekolah.

Guru tersebut kemudian menyoal Dayang X apa yang telah terjadi di mana Dayang X memberitahu bahawa dia dan Dayang Y pernah melakukan hubungan seks dengan tertuduh.

Guru itu terus melaporkan perkara itu kepada pihak polis yang kemudian memberkas tertuduh.

ARTIKEL YANG SAMA