Peroleh kemahiran pengurusan diri

Peroleh kemahiran pengurusan diri

Oleh Siti Nur Wasimah S.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 Okt – Dalam usaha untuk memberi peluang kepada para belia untuk memperoleh kemahiran insaniah dan pengurusan diri, Persatuan Kemajuan Insan (KESAN) pagi ini menganjurkan Program Mandiri yang berlangsung di Dewan Silaturahim, Pusat Belia di ibu negara.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Pengarah Jabatan Perkembangan Kurikulum, Haji Abdul Rahman bin Haji Nawi.

Turut hadir juga ialah Presiden KESAN, Awang Mohd Aidil Firdaus bin Haji Jukin.

Program Mandiri kali ini membawa tajuk ‘Be Critical: Thinkers of Tomorrow’, yang membentangkan mengenai kemahiran pemikiran kritikal (critical thinking) dan penggunaannya dalam kehidupan seharian.

Program tersebut dimulakan dengan taklimat mengenai KESAN yang disampaikan oleh Awang Mohd Aidil Firdaus yang antara lain menyentuh mengenai pengenalan persatuan tersebut di mana ia telah mula ditubuhkan sejak Disember 2006 dan merupakan organisasi bukan kerajaan (NGO) yang menganjurkan program-program kebajikan dan kemasyarakatan umum.

Haji Abdul Rahman hadir di Program Mandiri yang berlangsung di Dewan Silaturahim, Pusat Belia.
Haji Abdul Rahman hadir di Program Mandiri yang berlangsung di Dewan Silaturahim, Pusat Belia.
Awang Mohd Aidil Firdaus menyampaikan taklimat.
Awang Mohd Aidil Firdaus menyampaikan taklimat.
Antara peserta yang hadir di majlis tersebut
Antara peserta yang hadir di majlis tersebut

Tajuk program dibentangkan oleh ahli Persatuan KESAN, Dayang Nurul Hadina binti Haji Alias yang juga merupakan guru Sosiologi di Pusat Tingkatan Enam Tutong. Manakala aktiviti bengkel dikendalikan oleh ahli-ahli Persatuan KESAN.

Program pagi tadi itu juga menyaksikan pelancaran laman sesawang rasmi Persatuan KESAN yang boleh dilayari melalui www.persatuankesan.org.

Laman sesawang ini akan memaparkan informasi mengenai latar belakang, visi dan misi Persatuan KESAN yang juga sebagai satu ‘platform’ perkongsian dengan orang ramai mengenai aktiviti-aktiviti lepas dan akan datang.

Program yang buat kali kedua diadakan pada tahun ini itu disertai oleh 40 orang peserta berumur 16 hingga 30 tahun yang terdiri daripada para belia, pelajar peringkat sekolah menengah hingga universiti, serta belia yang baru mendapat pekerjaan.

ARTIKEL YANG SAMA