Peroleh manfaat daripada kerjasama China-ASEAN

Peroleh manfaat daripada kerjasama China-ASEAN

KUCHING, 12 Mei (Bernama) – Sarawak telah mendapat manfaat besar daripada kerjasama China-ASEAN dengan lebih banyak syarikat China terlibat secara aktif dalam ekonomi negeri ini, kata Konsul Jeneral China di Kuching, Fu Ji Jun.

Menurutnya, beberapa syarikat China telah menyatakan minat untuk melabur lebih RM10 bilion dalam pelbagai projek di negeri ini.

“Projek terbabit yang akan dilaksanakan dalam beberapa fasa akan meningkatkan faedah bersama kerjasama China-Sarawak,” katanya pada pembukaan Persidangan Usahawan ASEAN-China di sini, hari ini.

Fu berkata, pelaburan China ketara dalam pembinaan infrastruktur tenaga, pertanian, perhutanan, perikanan dan pembangunan hartanah.

“Saya akan memastikan Konsul Jeneral China di sini terus memainkan peranan untuk menyokong syarikat terlibat dan berharap ini akan dibalas balik oleh kerajaan negeri, komuniti perniagaan tempatan serta rakyat Sarawak,” katanya.

Mengenai persidangan itu, Fu berkata, ia akan bertindak sebagai platform untuk peserta menukar maklumat perniagaan dan mewujudkan rangkaian mereka. “Saya difahamkan sejumlah 10 memorandum persefahaman akan ditandatangani semasa persidangan ini,” tambahnya. Persidangan dua hari itu dihadiri lebih 500 usahawan dari Malaysia serta negara ASEAN lain dan China.

ARTIKEL YANG SAMA