Perpaduan nasional tonggak kejayaan M’sia 2020 – Kurup

Perpaduan nasional tonggak kejayaan M’sia 2020 – Kurup

KOTA KINABALU, 2 Mei (Bernama) – Perpaduan nasional adalah tonggak kepada kejayaan Malaysia untuk mencapai status negara maju menjelang tahun 2020, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Joseph Kurup.

Katanya kejayaan Malaysia menjadi negara maju antara lain bergantung kepada perpaduan nasional yang mantap selain sokongan padu rakyat terhadap perancangan dan pelaksanaan pembangunan direncanakan dalam agenda transformasi negara.

“Saya percaya dengan perpaduan kukuh, negara kita akan mencapai kejayaan yang cemerlang,” katanya berucap pada Majlis Perasmian Hontog Kaamatan KSS 2016 di sini hari ini, anjuran Pertubuhan Kadazan Sabah (KSS).

Dalam pada itu, Kurup berkata adalah penting bagi semua rakyat untuk sentiasa berwaspada agar tidak mudah terpengaruh dengan hasutan dan tohmahan tidak berasas.

Ini kerana, katanya, banyak isu-isu negatif sengaja ditimbulkan pihak tertentu terutama dalam media massa yang boleh mengelirukan serta memecahbelahkan perpaduan rakyat.