Perpindahan Di Maria tertangguh

Perpindahan Di Maria tertangguh

LONDON, 4 Ogos (Agensi) – Perpindahan Angel Di Maria ke Paris Saint-Germain (PSG) dengan nilai 44.4 juta pound semalam, tertangguh berikutan pemain itu tidak dapat menjalani pemeriksaan perubatan gara-gara keletihan melalui perjalanan selama 20 jam.

Pemain Manchester United berusia 27 tahun itu berangkat ke Doha, Qatar pada jam 1.35 pada pagi Ahad dan tiba di negara berkenaan pada jam 7.30 malam.

Mengikut jadual asal, pemain itu akan menjalani pemeriksaan di Aspire Centre, namun di Maria dan rombongannya memilih untuk terus ke penginapannya di Hotel Torch yang mengambil masa 40 minit perjalanan dari lapangan terbang.

Di sana dia berehat panjang dan hanya mengambil makanan ringan sebelum menjalani rawatan urutan pagi semalam sebagai persiapan untuk pemeriksaan perubatan.

Doktor PSG, Eric Rolland difahamkan hanya tiba di Doha pagi semalam dan dijadual mengadakan pemeriksaan ke atas pemain itu hari ini.

Perpindahan Di Maria masih belum dilengkapkan kerana keletihan selepas melalui perjalanan 20 jam. – Reuters
Perpindahan Di Maria masih belum dilengkapkan kerana keletihan selepas melalui perjalanan 20 jam. – Reuters

Selepas selesai, Di Maria dijangka meneruskan penerbangan ke Paris bagi menandatangani kontrak perjanjian selama empat tahun bersama PSG yang dijangka membabitkan bayaran gaji sebanyak 170,000 pound tanpa cukai seminggu.

Di Maria tidak menyertai jelajah pra musim United di Amerika Syarikat selepas menyertai Copa America di Chile.

Di Maria tidak menepati perancangan Real Madrid di bawah perancangan Carlo Ancelotti lantas dijual kepada Manchester pada musim lepas.

Bagaimanapun, di Old Trafford, Di Maria juga gagal menemui sentuhan dan tahun ini beliau mencuba nasib di PSG.

ARTIKEL YANG SAMA