Perpindahan ke Terminal 1, KKIA langkah baik

Perpindahan ke Terminal 1, KKIA langkah baik

KOTA KINABALU, 2 Dis (Bernama) – Kebanyakan penumpang AirAsia, syarikat penerbangan tambang murah, berasa selesa dengan perpindahan operasi syarikat penerbangan itu dari Terminal 2 ke Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), yang beroperasi secara rasmi, mulai kelmarin.

Bernama menemu bual beberapa penumpang yang tiba di Terminal 1 yang juga terminal utama lapangan terbang melalui penerbangan AK5108 dari Kuala Lumpur (KL) dan penerbangan AK6261 dari Tawau, awal kelmarin.

Salmi Hana, 38, seorang penumpang yang kerap berulang alik dari KL atas urusan perniagaan berkata beliau tidak menghadapi kesulitan dengan penerbangan pertama AirAsia KL-Kota Kinabalu (KK) di balai ketibaan Terminal 2.

“Operasi di Terminal 1 lebih teratur dengan papan tanda arah lebih jelas untuk penumpang bergerak di lapangan terbang berbanding di Terminal 2. Saya berpuas hati dengan terminal baharu,” katanya.

Ahirunisham Ahmad, 39, dari Kota Kinabalu yang tiba dari KL berkata, beliau mendapati operasi di terminal ‘sibuk sedikit’ kerana kira-kira sembilan syarikat penerbangan juga beroperasi di lapangan terbang itu.

Penumpang penerbangan tambang murah AirAsia menggunakan kemudahan mesin daftar masuk AirAsia yang disediakan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (LTAKK), kelmarin. – Bernama
Penumpang penerbangan tambang murah AirAsia menggunakan kemudahan mesin daftar masuk AirAsia yang disediakan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (LTAKK), kelmarin. – Bernama

“Secara keseluruhan, operasi adalah lebih baik walaupun jumlah penumpang ramai dan penumpang tidak lagi perlu berbaris panjang di kaunter imigresen, saya gembira dengan perpindahan itu,” kata ahli perniagaan itu.

Suri rumah Doris Aduan, 30, yang terbang dari Kuala Lumpur bersama anak perempuannya berusia 11 tahun berkata, beliau cukup selesa dengan perpindahan AirAsia ke KKIA.

Jennyvie George, 26, tukang draf kelahiran dari Ranau yang tiba dari Tawau berkata, lapangan terbang itu cukup teratur dengan tanda arah yang jelas untuk membantu para penumpang mencari arah dalam bangunan tersebut.

Katanya, walaupun jumlah penumpang lebih ramai di terminal tetapi ruang di lapangan terbang itu adalah lebih luas dan selesa berbanding Terminal 2 yang sentiasa penuh sesak.

ARTIKEL YANG SAMA