Perpustakaan atur pelbagai aktiviti sempena cuti sekolah

Perpustakaan atur pelbagai aktiviti sempena cuti sekolah

Ampuan Irma Susanti Ampuan Hussain

 

TEMBURONG, 12 Sept – Sempena dengan cuti penggal kedua persekolahan tahun ini, Perpustakaan Dewan Bahasa dan Pustaka cawangan Daerah Temburong seperti lazimnya, telah menyediakan pelbagai aktiviti khusus kepada golongan kanak-kanak dan remaja bagi mengisi masa mereka dengan perkara berfaedah sekali gus menanamkan minat membaca dan melahirkan idea-idea kreatif menerusi kegiatan yang mereka sertai.

Antara aktiviti-aktiviti yang disediakan itu termasuklah ‘Permainan Tradisi Brunei’, ‘Seni Kraf tangan’, ‘Susun Suai Gambar’, ‘Sihat Ceria’, ‘Mencipta Pantun’ dan bermacam-macam lagi.

Sebagai pusat tumpuan pelbagai peringkat usia terutamanya kanak-kanak di daerah ini, perpustakaan berkenaan tidak pernah lengang yang mana sehingga tahun 2014 ia telah mencatat keahlian seramai 12,075 orang kanak-kanak, 9,750 remaja dan 4,763 dewasa sejak ia ditubuhkan pada tahun 1975.

Beberapa pengunjung kanak-kanak yang mengikuti aktiviti ‘Susun Suai Gambar’ yang disediakan oleh pihak perpustakaan.
Beberapa pengunjung kanak-kanak yang mengikuti aktiviti ‘Susun Suai Gambar’ yang disediakan oleh pihak perpustakaan.

Dengan memiliki koleksi buku yang jumlahnya kira-kira 72,250 buah, perpustakaan awam ini telah mencatat peminjaman sebanyak 232,277 bahan sehingga penghujung tahun 2014.

Ini jelas menunjukkan fungsi utamanya sebagai gedung rujukan ilmu yang sangat berguna, yang masih lagi relevan seiring era teknologi canggih yang semakin mengatasi kepentingan buku-buku sebagai bahan rujukan.

ARTIKEL YANG SAMA