Perpustakaan bergerak dilancarkan

Perpustakaan bergerak dilancarkan

Oleh Normazlina M.D

 

TUTONG, 4 Mei – Dalam usaha menggalakkan minat membaca dalam kalangan warga sekolah, Perkhidmatan Bas Perpustakaan Bergerak telah dilancarkan di Sekolah Rendah (SR) Bakiau, Tutong, Kluster 4, pagi tadi.

Hadir selaku tetamu kehormat bagi menyempurnakan pelancaran ialah Ketua Kampung Birau, Haji Burhannuddin bin Haji Hashim.

Menurut Guru Besar SR Bakiau, Awang Yakub bin Haji Abdul Rahman, perkhidmatan bas perpustakaan bergerak diadakan bagi menggalakkan murid-murid dan penduduk Kampung sama-sama melestarikan minat membaca.

“Perkhidmatan Bas Perpustakaan Bergerak diadakan dua kali sebulan pada hari Sabtu, bermula jam 10 pagi,” jelas Awang Yakub.

Beliau seterusnya menyarankan murid-murid sekolah agar mengambil peluang untuk menanam minat membaca kerana banyak manfaat yang boleh didapati daripada membaca.

Haji Burhannuddin melancarkan Perkhidmatan Bas Perpustakaan Bergerak di SR Bakiau, Tutong, Kluster 4, semalam.
Haji Burhannuddin melancarkan Perkhidmatan Bas Perpustakaan Bergerak di SR Bakiau, Tutong, Kluster 4, semalam.
Ketua Kampung Birau menyaksikan perkhidmatan Bas Perpustakaan Bergerak.
Ketua Kampung Birau menyaksikan perkhidmatan Bas Perpustakaan Bergerak.

“Membaca dapat merangsang mental, mengurangi tekanan, menambah pengetahuan, meningkatkan kualiti memori, melatih keterampilan untuk berfikir dan menganalisis, meningkatkan fokus dan konsentrasi dan banyak lagi,” ujar beliau lagi.

Terdahulu, majlis diserikan dengan persembahan nyanyian oleh murid-murid SR Bakiau diikuti dengan persembahan Mari Bercerita.

Bagi mengenali Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan lebih dekat lagi, beberapa pameran dan aktiviti turut diadakan untuk murid-murid seperti kuiz, teka-teki, mencari benda tersembunyi dan mencantumkan gambar.

Seramai 49 orang murid terdiri daripada murid-murid Pra hingga Tahun 6 hadir pada Majlis Pelancaran Bas Perkhidmatan Bergerak dan berkesempatan mengikuti aktiviti yang dianjurkan oleh DBP Cawangan Daerah Tutong.

ARTIKEL YANG SAMA