Perpustakaan KL terbakar

Perpustakaan KL terbakar

KUALA LUMPUR, 18 Jan – Seramai 50 orang termasuk staf serta pelawat Perpustakaan Kuala Lumpur di sini gempar apabila bangunan perpustakaan itu terbakar pagi ini.

Bagaimanapun tindakan pantas pengawal keselamatan dan staf perpustakaan berjaya membawa keluar semua yang berada dalam bangunan itu dalam keadaan selamat tanpa sebarang kejadian yang tidak diingini.

Dalam kejadian kira-kira 9.45 pagi, kira-kira 20 peratus struktur luar bangunan yang diperbuat daripada campuran material fiber dan bata hangus terbakar, manakala bahagian dalam tidak terjejas.

Pengawal keselamatan bertugas, Faizah Asari berkata beliau memaklumkan pegawai kanan perpustakaan berkenaan sejurus menyedari di bahagian pintu utama bangunan yang sedang diubah suai itu terbakar.

“Semasa kebakaran, kontraktor tengah mengimpal ‘awning’ untuk pintu utama. Kejadian memang berlaku sangat cepat, tak sampai lima minit api terus merebak sampai ke bumbung,” katanya ketika ditemui.

Pustakawan Kanan Norizam Abdul Ghani berkata beliau terus menghubungi bomba selepas dimaklumkan mengenai kejadian itu dan mengarahkan semua staf serta pelawat mengosongkan bangunan dengan segera.

“Perpustakaan dibuka pada pukul 2 petang setiap Isnin, jadi memang tak ramai orang kecuali staf, manakala pelawat yang ada cuma mereka yang menggunakan fasilitet perpustakaan untuk mengambil peperiksaan jabatan, jadi memang nasib baik,” katanya.

Berikutan itu, beliau berkata perpustakaan akan ditutup mulai hari ini sehingga dimaklumkan kelak.

Dalam pada itu, Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Kumpur Amrdan Mahat berkata pihaknya tiba sejurus menerima panggilan kecemasan.

“Seramai 39 anggota dan pegawai dari balai bomba Hang Tuah, Titiwangsa dan Sentul berjaya mengawal kebakaran sepenuhnya pada 10.49 pagi, katanya. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA